Mazhab-mazhab Liberalisme.

Diterbitkan sebagai sebahagian dari siri Sekolah Liberalisma

Muhammad Al-Mahdi    25/08/2015

Ideologi liberalisme adalah sebuah idea yang penuh dengan kesungguhan, optimisme, idealisme, falsafah, cubaan dan penambahbaikan sepanjang zaman. Kerana ia adalah projek intelektualisme untuk masyarakat global dan bersifat universal. Ia juga adalah sebuah projek politik yang berteraskan kebaikan sumber manusia untuk mencipta keamanan dan kestabilan sosial dan ekonomi, maka liberalisme wajar dikira sebuah idea yang fleksibel tanpa menggadaikan nilai-nilai dan prinsip utama.

Asas kebebasan liberalisme adalah kebebasan sosial, ekonomi dan politik, kesertaan hak, pertimbangan matematikal dan logika, toleransi dek ketidakwujudan kebenaran mutlak kerana pandang alam manusia dan kepetingan mereka yang pelbagai, kesepakatan manusia sebagai penyelesaian atas kepelbagaian kepetingan, perundangan sebagai kuasa tertinggi untuk penegahan keleluasaan pemerintah dan juga prinsip individualisme sebagai entiti yang dihargai hak dan suaranya.

Zaman berzaman nilai liberalisme berkembang dan diadaptasi, dibangunkan, disesuaikan dengan pelbagai situasi dan falsafahnya telah melahirkan pelbagai cabang mazhab dan aliran berbeza yang wajib diraikan.

Liberal Klasik:

Liberal klasik adalah asas kepada liberalisme. Sumbernya dari tokoh seperti Locke, Mills, Acton, Adam Smith, Voltaire, Rousseau, Immanuel Kant, Frederic Bastiat, Tocqueville, Hayek dan lain lain. Temanya adalah kerajaan terhad iaitu menafikan hak kerajaan campurtangan dalam urusan ekonomi dan peribadi masyarakat.

Oleh sebab klasikal liberalisme sangat obses dengan hak individu (individualisme) maka mereka percaya bahawa capital (modal) perniagaan dalam ekonomi perlulah diuruskan oleh individu yang dilihat sebagai entiti yang rasional sedangkan kerajaan adalah sebuah entiti yang tidak rasional kerana mempunyai kepentingan kuasa berbanding individu yang mementingkan kebahagian.

Selain itu mereka juga terlalu obses terhadap kesewenangan individu atas nama kebebasan yang dihadkan dengan undang-undang atas sempadan kebebasan individu lain. Mudah kata adalah individu bebas melakukan apa sahaja, selagi mana tidak menganggugugat keselamatan dan sejahteraan individu lain. Biarpun kebebasan itu merosakkan diri, sebagai kerajaan adalah haram untuk interversi ke dalam ruang peribadi ini secara langsung kerana ini hanyalah bakal membuahkan ditaktorisme.

Individu adalah aktor yang rasional dalam memilih jalannya dan persekitaran (pendidikan, keluarga, masyarakat) sebagai sumber pengaruh tidak langsung. Liberal Klasik sangat menjunjung moral dalam pasaran, seperti yang sering Adam Smith peringatkan. Begitu juga moral yang diabstrak dari nilai kemanusian dan pegangan agama masing-masing.

Pada pandangan kebebasan sosial liberal klasik, setiap individu adalah diiktiraf hak peribadinya selagi didalam premis peribadinya . Dihormati pilihannya, nilai yang dipegang, cara hidup dan kepercayaan. Sebagai contoh seseorang berhak menghalang dakyah atau dakwah agama lain masuk ke rumahnya, kepada sekolah ‘milik’nya, atau kepada anaknya sendiri tetapi sehinggalah ruangan itu dipisahkan dengan milik awam seperti media , tempat umum dan sebagainya. Dalam arti kata mudah kebebasan adalah terhad digarisan hak individu lainnya. Seorang liberal klasik bakal menghormati dan menyantuni apa sahaja nilai dan moral anda selagi tidak menganggunya dan tidak menganggu keselamatan awam. Keselamatan awam pula diserahkan kepada Kerajaan sebagai perwakilan kepada suara umum masharakat. Oleh itu perundangan yang dibuat adalah memisahkan antara hak peribadi (dosa peribadi contohnya) yang tidak menganggu-gugat kesalamatan individu lain dengan hak umum yang dilakar untuk menjaga kestabilan dan keharmonian. Undang-undang adalah kesepakatan rakyat digubal oleh kerajaan sebagai mekanisma tertinggi dan berdaulat . The rules of law dan limited freedom , dan membezakan peranan kerajaan dan ruang peribadi secara jelas.

“masharakat yang tidak mengenal-pasti setiap individu mempunyai nilainya tersendiri, yang dipilihnya sendiri untuk taat, berkemungkinan untuk tidak menghormati hak dan maruah orang lain, dan tidak mungkin mengenal arti kebebasan” -Hayek.

Adalah tempang dan salah menyatakan liberal adalah manusia yang anti-agama mahupun hilang moral sedangkan beberapa tokoh mereka adalah kuat beragama dan kalaupun seorang athiest mereka pastinya seorang yang kuat berpegang kepada nilai dan prinsip. Hari ini faham ini diwarisi dengan nama Libertarian (di Amerika) dan Liberal (di Eropah) .

Liberal moden:

Liberal moden mula muncul setelah perang dunia kedua kerana sistem ekonomi liberal klasik bersifat laissez-faire (pengawalseliaan sendiri) iaitu sistem ekonomi yang menahan tangan kerajaan daripada urus campur dalam pusingan wang. Pemulihan ekonomi negara kebiasaannya mengambil masa yang terlalu lama, dek kerana tidak menahan sabar, Keynes telah mencadangkan campurtangan kerajaan bagi mengimbangkan semula ekonomi Amerika melalui suntikan dan pinjaman serta kongsian antara usahawan dengan kerajaan (Government Linked Company).

Keynesian turut menghalalkan perlindungan, keistimewaan, merentir (rent-seeking) dan tanggungan (bailout) selain kecenderungan kepada monopoli dan kartel (pakatan swasta untuk menetapkan harga). Yang merupakan inovasi atas nama Kapitalisme, walau terang lagi bersuluh ia amat kontradatik dengan prinsip asal kebebasan ekonomi yang dibawa oleh liberal klasik.

Kemudian muncul Walter Eucken dari Jerman mencadangkan pasaran sosial pula yang meletakkan kerajaan dalam peranan ekonomi tetapi ia harus mempertimbangkan kebaikan dan keselamatan sosial kerana bagi Eucken ancaman gergasi bukan muncul dari interversi kerajaan dalam ekonomi tetapi adalah dari sektor swasta. Kewujudan idea Eukenian adalah respon kepada Keynesian .

Liberalisme moden adalah hasil daripada delima; antara kebebasan peribadi dan hak harta persendirian berdasarkan permintaaan pasaran (market order). Retorik mereka adalah ‘neo’, ‘revisionist’, ‘negara kebajikan’, atau lebih indah dikenali dengan ‘keadilan sosial’.

Selain tema penetrasi kerajaan dalam ekonomi. Liberalisme moden memfokuskan kekuatan intelek mereka kepada keserataan sosial dan melihat masyarakat sosial mengatasi fokus terhadap hak individu.

Pada awal abad ke-20, Teori Keadilan Rawl lahir dari hasil cerapannya yang dianggap sebagai revisionisasi terhadap liberalisme klasik. Mengetengahkan keserataan pengagihan pendapatan, ketidakpedulian status dan latar hidup sebagai asas peduli kepada keadilan sejagat, beliau juga pecaya kepada asas kapital (modal) yang serata setidakpun hampir setara.

Idea keadilan Rawls juga disebut sebagai egalitarian liberalism dan Negara Kapitalis Berkebajikan. Idea ini merebak dan lebih mudah diterima pakai di barat kini. Ia lebih disenangi politikus kerana praktikal disamping dapat memberi ‘kuasa lebih’ kepada kerajaan. Samada Demokrat mahupun Republican di Amerika Syarikat.

Liberalisme moden mempercayai teori peperangan demi meluaskan demokrasi (democratization), atas nama memerangi keganasan (war on terror). Ia sangat kontra dengan libertarian atau liberal klasik yang mempercayai pendidikan sebagai wadah tunggal menyebarkan demokrasi. Oleh kerana moden liberal (atau nama lainnya Neo-Liberal) didokongi kerajaan, kebanyakkan dana dan peruntukan menjayakan dan melebarkan nilai demokrasi adalah melalui institusi di bawah kerajaan berbanding liberal klasik yang sangat mandiri dan berdiri tanpa bantuan kerajaan.

Islam ‘Liberal’:

Wacana ini jarang dikenali di dunia falsafah barat. Islam adalah agama sedang liberalisme adalah pakej falsafah kebebasan yang membincangkan politik dan memisahkannya dari agama. Walau kelihatan paradoks, Islam dengan Liberal ini telah muncul dan menjadi perdebatan dalam dunia intelektual muslim terutamanya di Nusantara.

Wacana Islam liberal temanya mencari nilai-nilai liberalisme klasik dalam teks tradisi Islam kerana inti liberalisme klasik antaranya adalah sekularisme, individualisme, keserataan, dan “kebenaran” yang diperdebatkan dengan logika dan angka. Islam liberal muncul dengan idea-idea Islam sekular; dimana agama harus terpisah dari retorik palsu negara. Islam harus bersemayam di dalam sanubari dan diamalkan secara toleransi. Islam liberal juga mencari dalil-dalil keringangan beragama bagi mengiktiraf hak individu lainnya.

Tokoh-tokoh Islam Liberal tidak ketinggalan dengan keberanian untuk mencabar autoriti agamawan di arus perdana seperti mana tokoh liberal klasik yang tidak gentar dengan semangat pencerahan mempersoalkan autoriti agamawan yang korup dalam politik. Cuma bezanya adalah arus perdana itu tidaklah semestinya korup tetapi dilihat menghalang percambahan ilmu dan semangat hidup bersama serta hak individu. Di indonesia tamsilnya Islam Liberal sering disinonimkan dengan NGO Jaringan Islam Liberal (JIL), mengumpulkan cendikiawan muslim yang sering mempunyai pandangan kontroversi , walaupun begitu setiap ‘fatwa’ yang dikeluarkan tidak pernah atas nama kumpulan melainkan kapisiti peribadi dan inilah konsep kepelbagaian dan pemecahan kebekuan yang cuba diutarakan oleh JIL.

Mereka sering mengenengahkan idea-idea dan fatwa-fatwa yang aneh dan terpencil dalam tradisi Islam bagi mencabar dan menggugat kebekuan agama Islam. Walau Islam liberal boleh dianggap bukan dari wacana liberalisme tetapi juga sukar dinafikan kerana mereka terinspirasi dengan nilai-nilai liberalisme yang universal.

Ya, jika kita katakan mereka adalah liberal dari usul kata bebas dan terbuka fikirannya mungkin benar. Tetapi untuk mendakwa mereka adalah liberal yang melanggan idea dan tergolong dalam falsafah politik liberalisme haruslah ditolak dan dinafikan sekeras-kerasnya!

Juga sempat dinotakakikan di sini bahawa Muslim-Demokrat mempunyai status yang sama. Mereka berbeza dengan Islam Liberal dari sudut menyokong projek sekularisme, tetapi mereka juga melanggan idea demokrasi yang menjadi teras liberalisme tetapi cuba diadaptasi dengan penggalian nilai itu dalam teks-teks tradisi.

Muslim demokrat melihat kerajaan beridentiti Islam harus berdiri dengan hikmah dan lembut (soft-government). Kedua-dua wacana ini reaksi kepada pasca-kolonialisme dan dek kecelaruan identiti dan erti terhadap politik Islam. Dan sudah tentu tidak ada kaitan banyak dengan Liberalisme yang asli.

Anarko-Kapitalis:

Murray Rothbard terkenal dengan bukunya The New Liberty dan David D. Friedman dengan karyanya Machinery of Freedom adalah dua tokoh yang menjadi batu asas kepada idea anarko kapitalis (anarcho-capitalism).

Keadaan anarki bukanlah keadaan huru-hara. Anarki adalah sebuah keadaan ketiadaan kuasa autoriti. Kebanyakkan kita sering mendengar anarkisme dari haluan kiri yang menjunjung kolektivisme (kebersamaan secara berkumpulan). Namun terdapat juga anarkisme yang muncul dari nilai kapitalisme dan individualisme serta voluntarisme (kesuka-relaan).

Anarko kapitalisme adalah faham eksterim percaya terhadap individu dan ekstrim membenci kewujudan kuasa autoriti. Logiknya mudah, jika kerajaan sering mengambil hak-hak diri dan gagal mewujudkan kesejahteraan sejagat, apa lagi perlunya kerajaan?

Jika kerajaan seperti yang diperkatakan oleh Locke adalah “kejahatan yang diperlukan” manakala pada anarko-kapitalisme kerajaan adalah kejahatan multak dan kita tidak memerlukannya. Pada anarko kapitalisme seperti juga liberalisme lainnya, kebebasan adalah terhad dan kebebasan adalah tangungjawab.

Konsep Non-Coersive Axion melarang keganasan kecuali untuk melindungi diri. Namun seperti sosiologis agung Max Waber menyatakan bahawa negara (baca kerajaan) adalah kuasa autoriti yang sah untuk mengunakan keganasan, maka Rothbard berargumentasi mengapa jika kerajaan mengambil pendapatan kita, polis memukul kita direlakan tanpa mengira bahawa mereka adalah penjenayah?

Friedman antaranya juga mempercayai ketiadaan dalam kerajaan dalam pasaran adalah lebih baik mencipta kebaikan kepada manusia sejagat. Hidup tanpa kerajaan, tanpa sepadan, aman dengan semaian tangungjawab kerana manusia bersifat damai semula jadinya, kesuka-relaan dalam masyarakat adalah utopia yang dihidangkan oleh anarko-kapitalisme.

Guru saya seorang sosiologis Prof. Mazen el-Hashimi sering memperingatkan pengkategorian ideologi adalah mudah dan memudah-cara tetapi sering tersasar dan selalu tidak tepat. Penulisan ini hanyalah untuk merungkai kebingungan segelintir mereka yang asing dengan liberalism agar memahaminya secara ringkas, tanpa spektrum politik dan tanpa perbahasan falsafah yang meleret. Moga menjadi manfaat dan sumbangan kepada rakyat Malaysia ke arah masyarakat tercerah.

Rujukan :

Graham ,Robert , Anarchism : a documentary of libertarian ideas vol 1.
Heywood , Andrew, Political idealogies.1994
Ryan : Making modern of liberalism, Princeton University Press, 2014
Ahmad, Amin: Pasaran ekonomi sosial (alternatif untuk Malaysia?) : IKD : 2011
http://www.kas.de/wf/en/71.9822/
http://www.learnliberty.org/

En. Muhammad Al-Mahdi ialah penulis dan pemikir bersekutu di STRATA Consulting, sebuah badan advokasi dan pemikir dengan pengkhususan kajian strategik dan analisa unjuran. Beliau merupakan mahasiswa universiti di Istanbul merupakan mantan anak didik gerakan Islam.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s