Wayang Ulama Gelojoh (UG) dalam PAS: Usaha Terbaru Membolot Kuasa

Pak Abu Tufah       07/09/2014

Selain daripada ISMA yang galak mencucuk jarum kepada PAS untuk meminggirkan suara-suara rasional (nama manjanya kumpulan Erdogan), di dalam PAS sendiri wujudnya usaha terancang tersebut. Golongan yang disertai beberapa tokoh gelojoh berserban besar yang galak memecahkan PAS agar nafsu suraqah mereka untuk mengekalkan kuasa dipenuhi. Nama manja bagi golongan anti-Erdogan dalam PAS ini adalah geng Ulama Gelojoh atau juga dipanggil geng UG (singkatan bagi Unity Government seperti yang pernah mereka bincangkan secara rahsia dengan UMNO suatu ketika dahulu). Mungkin rancangan Unity Government ini sudah tiada lagi (eh ye ke takde? anggap takde je la dulu) tetapi geng Ulama Gelojoh (UG) ini tetap ada, masih “alive and kicking” kata orang puteh. Mereka galak mengutuk geng Erdogan dengan nama ‘parasit’ atau ‘munafik haraki’. Kononnya, cara fikir golongan Erdogan ini tiada tempat dalam PAS, dan juga tidak assolah, hanya menempel dan merosakkan fikrah PAS yang asal. Seolah hanya geng UG sahaja yang betul fikrahnya. Kisah tahyul tentang ‘parasit’ ini perlu dilihat dalam konteks sejarah metamorfosis PAS yang mengalami banyak perubahan dinamik sejak dari penubuhannya sehingga sekarang.

PAS Sarang “Parasit”

Senario politik orang Melayu Islam sebelum kemerdekaan pada awalnya lebih didominasi oleh golongan kiri, yakni golongan yang mengambil jalan konfrontasi dengan penjajah. Hanya apabila UMNO muncul barulah golongan kanan yang lebih mesra dengan British muncul. Kesatuan Melayu Muda (KMM) muncul lebih awal dari UMNO dan mengambil inisiatif untuk rapat dengan penjajah Jepun yang menjanjikan kemerdekaan. Mereka paling awal melaungkan tuntutan kemerdekaan tetapi mereka ditipu Jepun yang mungkir janji dan membubkarkan KMM dan diganti dengan Pertahanan Tanah Ayer (PETA). Kemudian dari abu KMM lahir pula Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada 1945 yang juga membawa idea Melayu Raya (Malaysia + Indonesia) sama seperti KMM.

Dr Burhanuddin Al Helmy, tokoh KMM yang kemudiannya menjadi pengasas PKMM, telah mengusulkan agar diadakan suatu konferens Melayu Islam di Maahad al Ehya di Gunung Semanggol pada 1947. Hasilnya lahirlah Majlis Tertinggi Agama (MATA) yang mana UMNO turut menghantar wakilnya. Dr Burhanuddin Al Helmy sememangnya bijak berpolitik apabila MATA menjadi wadah bagi PKMM dalam usaha penyatuan Melayu dan pada masa yang sama PKMM juga terlibat dan bekerjasama dengan pelbagai parti politik berlainan bangsa dan ideologi di dalam Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA). Perlu ditekankan bahawa PKMM, PUTERA dan AMCJA adalah dianggap berhaluan kiri dan radikal oleh British, lebih-lebih lagi apabila ada kaitan kuat antara PKMM dan KMM yang pro-Jepun sebelum ini.

Dr Burhanuddin Al Helmy tunjang penubuhan PAS

Dr Burhanuddin Al Helmy tunjang penubuhan PAS

UMNO yang sememangnya parti feudal bangsawan adalah berhaluan kanan dan tidak mahu berkonfrontasi dengan British. Slogan perjuangan mereka, ‘Hidup Melayu’, menggambarkan jiwa kecil perjuangan mereka jikalau hendak dibandingkan dengan gabungan PKMM, PUTERA dan AMCJA yang sejak dari awal menuntut kemerdekaan sepenuhnya. Jadi UMNO tidak selesa dilihat bersama dengan PKMM di dalam MATA menyebabkan UMNO undur diri. Dato Onn pada waktu itu menakut-nakutkan orang ramai dengan amaran ‘bahaya daripada gunung’ yakni Gunung Semanggol. Pada konferens MATA tahun berikutnya (1948), MATA diubah menjadi parti Islam bernama Parti Orang Hizbul Muslimin (Hizbul Muslimin). Hizbul Muslimin membawa satu kesedaran baru bahawa Islam boleh memberikan solusi kepada masalah yang dihadapi masyarakat. Jangka hayat Hizbul Muslimin tidak lama apabila Ordinan Darurat 1948 diperkenalkan British dan pemimpin berhaluan kiri ditangkap British. Hanya UMNO sahaja tidak ditangkap.

Tokoh-tokoh Melayu Islam sama ada dari Hizbul Muslimin atau PKMM, beramai-ramai menyertai UMNO apabila bebas daripada penjara; semata-mata kerana mereka sudah tiada lagi wadah untuk menuntut kemerdekaan. Ada juga bekas ahli PKMM yang menyertai parti komunis seperti Shamsiah Fakeh kerana tiada wadah untuk bergerak tetapi tidak pula sanggup menyertai UMNO yang menjadi penjilat British. Hj Ahmad Fuad, bekas tokoh Hizbul Muslimin, menyertai UMNO pada Ogos 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran UMNO. Hj Ahmad Fuad telah menganjurkan persidangan ulamak pada tahun 1951 dan lahirlah Persatuan Ulama Se-Malaya. Namanya berubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) kerana label Islam lebih besar daripada label ulama semata-mata. Barisan ulama ini kemudiannya keluar daripada UMNO walaupun pada awalnya PAS mempunyai sistem dua-keahlian dimana ahli PAS dibenarkan menjadi ahli UMNO. Namanya bertukar lagi semasa bertanding pilihanraya 1955 sebelum akhirnya menjadi Parti Islam Se-Malaya (PAS) sejak 70an hingga sekarang. PAS telah menggantikan peranan PKMM dan Hizbul Muslimin, yakni menjadi alternatif kepada orang Melayu untuk memilih selain daripada UMNO yang kelihatan (1) terlalu feudal, (2) terlalu kebaratan dan (3) lunak dengan penjajah British. UMNO kelihatan tidak ikhlas berjuang untuk negara apabila hanya hampir kepada kemerdekaan sahaja baru mereka menukar moto perjuangan mereka kepada ‘Merdeka!’. Dr Burhanuddin Al Helmy yang terlibat dari awal menubuhkan Hizbul Muslimin menyertai PAS dan akhirnya menjadi Yang Dipertua (YDP atau sekarang dipanggil presiden) pada 1956 hingga 1969.

Kemasukan beramai-ramai ke dalam PAS oleh bekas ahli pertubuhan lain berlaku sekali lagi pada tahun 70an ke 80an. Ini terjadi tatkala kerajaan PAS tumbang di Kelantan sehingga tokoh Masyumi (parti Islam di Indonesia) menghantar surat kepada YDP PAS pada waktu itu Datuk Asri Muda agar menggesa Angkatan Belia Islam (ABIM) menyelamatkan PAS. Tokoh besar ABIM beramai-ramai menyertai PAS pada waktu itu seperti Ustaz Fadhil Nor, Ustaz Nakhaie Ahmad, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, Ustaz Abdul Hadi, Ustaz Yahya Othman dan Mohammad Sabu.

Jadi setelah panjang diselusuri sejarah PAS, Pak Abu nak bertanya siapakah yang dimaksudkan sebagai ‘Parasit’ oleh golongan UG? Jikalau yang dimaksudkan sebagai ‘Parasit’ itu adalah mereka yang datang daripada pertubuhan lain masuk ke dalam PAS dan membawa ideologi yang pelbagai; maka bukankah PAS selama ini sememangnya menjadi parti tempat berkumpulnya parasit? Kesemua ahli PAS, sejak daripada penubuhannya sehingga sekarang adalah dari kalangan Melayu-Islam yang datang daripada pelbagai jalur latar belakang dan ideologi pemikiran, yang mencari alternatif kepada UMNO. Ahli PAS sejak daripada dahulu sehingga sekarang ada yang datangnya daripada sekolah pondok (kaum tua), dari kumpulan tarikat, dari kumpulan tabligh, dari kumpulan salafi (kaum muda), dari demografik petani, dari demografik buruh, dari demografik pemikir intelektual, dari golongan saudagar, dari golongan aktivis wanita, aktivis pelajar, yang befikiran sosialis dan pelbagai pemikiran lagi. Malah, idea tentang perlunya Melayu-Islam bekerjasama dengan parti bukan Islam dan parti pelbagai ideologi (bahasa mudahnya tahaluf siyasi) telah pun didokong oleh tokoh-tokoh PKMM yang kemudian menjadi ahli PAS seperti Dr Burhanudian Al Helmy.

Ya, jangan terkejut, idea tahaluf siyasi bukan datang daripada UMNO yang bekerjasama dengan MCA dan MIC tetapi daripada Dr Burhanudin Al Helmy, politikus berjiwa besar berotak geliga, di dalam PKMM yang bekerjasama dengan PUTERA dan AMCJA. Parasit-parasit yang ada di dalam PAS sekarang dikatakan membawa idea tahaluf siyasi yang tidak menguntungkan PAS kerana geng UG tidak lagi boleh menjentik golongan bukan Islam. Idea tahaluf siyasi itu sendiri lahir lebih awal daripada PAS. Kalau perlu adanya label-label begini, Pak Abu cadangkan agar presiden PAS sekarang diberikan label ‘bapak parasit’ kerana datang daripada tarbiyah ABIM dan masuk bersama geng-geng ustaz ABIM ‘merampas’ kuasa parti atas nama ‘kepimpinan ulama’, suatu ideologi yang asing daripada PAS.

Tahaluf siyasi telah adalah idea sejak zaman PKMM dan telah ditangguhkan oleh geng UG di dalam PAS

Tahaluf siyasi telah adalah idea sejak zaman PKMM dan telah ditangguhkan oleh geng UG di dalam PAS sejak sekian lama. Sifirnya mudah, PAS apabila bersendirian maka suaranya tidak didengari. Akan jadi kera sumbang. Prestasi PAS paling teruk adalah semasa zaman PAS bersendirian.

Ulama Gelojoh (UG) Membolot Kuasa

Kepimpinan ulama tiada tempat dalam demokrasi

Kepimpinan ulama tiada tempat dalam demokrasi

Kenapa Pak Abu katakan geng UG ini yang sebenarnya lebih ‘parasit’? Ini kerana mereka membawa doktrin ‘kepimpinan ulama’ yang tiada asal-usulnya di dalam PAS. Malah Pak Abu juga berani mengatakan bahawa idea ulama sahaja yang layak menjadi pemimpin, tiada asalnya di dalam tradisi pemikiran ahli sunnah wal jamaah (ASWJ).

Idea kepimpinan ulama adalah penyaduran simplistik tokoh pemuda PAS pada waktu hujung 70an dan awal 80an yang kekeringan idea dalam membawa pembaharuan di dalam PAS yang dirudung kekalahan. Al-kisahnya, YDP PAS selepas Dr Burhanudin Al-Helmy, Dato Asri Muda, telah membawa PAS menyertai kerajaan campuran pada 1972 sebagai usaha penyatuan Melayu selepas tragedi 13 Mei. Pada 1974 pula, PAS menjadi sebahagian daripada Barisan Nasional selepas dipersetujui di dalam muktamar. Suara-suara mengkritik Dato Asri mula kedengaran terutama dari kalangan pemuda PAS yang tidak menyukai kerjasama dengan UMNO dan BN. Pada muktamar tahunan PAS ke 23, Dewan Pemuda telah mengadakan sesi sehari lebih awal daripada muktamar sebenar. Ini sebagai protes terhadap kepimpinan Dato Asri Muda. Bekas ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Abu Bakar Hamzah menyindir Dato Asri sebagai pemimpin buta Al-Quran.

PAS mengalami krisis perpecahan di Kelantan pada tahun 1977, apabila Dato Muhamad Nasir sebagai menteri besar mendapat undi tidak percaya daripada kalangan ADUN PAS. Walaupun Dato Muhammad Nasir adalah ahli PAS tetapi dia dituduh sebagai lebih menyebelahi UMNO dan tidak menguntungkan PAS. Satu tuduhan yang boleh diperdebatkan kerana UMNO merupakan rakan satu pakatan dengan PAS jadi tidak patut timbul isu Dato Muhammad Nasir tidak menguntungkan PAS dan lebih menguntungkan UMNO. Dato Muhamad Nasir kemudiannya meminta pemangku Sultan Kelantan pada waktu itu untuk membubarkan DUN. Pemangku Sultan enggan melakukannya dan timbul huru hara apabila demonstrasi bertukar ganas daripada kedua-dua belah pihak, penyokong Dato Muhamad Nasir dan juga penyokong PAS. Kekacauan dan rusuhan berlaku, rumah dan kereta dirosakkan, dan kebakaran merebak sehinggalah darurat diisytihar. Kelantan diletakkan dibawah pemerintahan Majlis Gerakan Negara (Mageran) selama enam bulan. Pada tahun 1978, pilihanraya diadakan di Kelantan dan parti Berjasa yang ditubuhkan oleh Dato Muhamad Nasir mendapat sokongan padu rakyat Kelantan. PAS hanya memenangi dua kerusi ADUN. Kekalahan besar PAS ini dijadikan alasan besar oleh golongan yang ingin merampas kuasa untuk menjatuhkan Dato Asri Muda.

Kemenangan revolusi Iran pada 1979 memberikan legitimasi agama kepada golongan ulama untuk mula membolot kuasa. Pemikiran Imam Khomeini yang menjadi figur utama revolusi Iran telah diplagiat menjadi doktrin ‘kepimpinan ulama’ (akan diterangkan lebih lanjut dalam perenggan seterusnya). Pada muktamar PAS tahun 1982, secara rasmi doktrin ‘kepimpinan ulama’ dicadangkan di dalam usul pemuda. Ucapan dasar YDP PAS ditolak oleh muktamar dan slogan ‘Murakbar Asri’ (berundurlah Asri) dilaung-laungkan. Dato Asri terus meletakkan jawatan semasa muktamar akibat dimalukan sebegitu.

Datuk Asri dipaksa berundur oleh golongan yang terlalu taksub dengan pemikiran yang tiada asalnya dalam pemahaman ahli sunnah wal jamaah

Datuk Asri dipaksa berundur oleh golongan yang terlalu taksub dengan pemikiran yang tiada asalnya dalam pemahaman ahli sunnah wal jamaah

‘Kepimpinan Ulama’ Ajaran Syiah dan Tiada dalam Tradisi ASWJ

Modal utama Imam Khomeini dalam menjatuhkan Shah Iran adalah pemerintahan Shah Iran tidak berdasarkan ajaran Islam (versi Syiah) yang sebenar. Di dalam pemikiran politik Syiah, seorang ketua bagi ummat Islam mestilah daripada kalangan Imam Ahlul Bait (yakni keluarga Nabi Muhammad). Mereka mempunyai dua belas imam daripada Ali sebagai imam pertama sehinggalah kepada Muhammad Al-Mahdi sebagai imam ke dua belas. Setiap imam adalah merupakan anak lelaki kepada imam sebelumnya. Imam Al-Mahdi lahir pada tahun 869 Masihi dan menghilangkan diri pada tahun 941 Masihi dan dipercayai akan muncul kembali pada akhir zaman untuk mengembalikan kekuasaan Islam di dunia ini.

Golongan Syiah sejak daripada kematian Nabi Muhammad saw, telah berselisih dengan golongan ASWJ dalam soal pemilihan pemimpin ummat Islam. Golongan yang memilih Ali sebagai pengganti Rasulullah telah berhujah bahawa Ali merupakan ahlul bait kerana Ali merupakan sepupu dan juga menantu Rasulullah. Pada masa yang sama Ali dikatakan sebagai paling layak kerana wujudnya satu hadis yang mengatakan:

Saya (rasulullah) adalah kota ilmu sedangkan ‘Ali adalah pintunya, sesiapa yang hendak memasuki kota (ilmu) maka masuklah melalui pintunya.

Syiah menjadikan hadis ini sebagai hujah utama kerana hanya Ali yang mengetahui semua rahsia ilmu Rasulullah yang tidak diketahui oleh sahabat yang lainnya. Inilah permulaan kepada doktrin ‘kepimpinan ulama’ (orang berilmu). Hadis ini dikategorikan sebagai dhaif atau palsu oleh kebanyakkan ulama ASWJ. Golongan ASWJ tidak pernah berpegang dengan hujah hanya yang paling berilmu layak menjadi pemimpin. Ini kerana mereka memilih Abu Bakar sebagai khalifah (pengganti) Rasulullah yang pertama. Abu Bakar bukanlah orang yang paling faqih (tinggi kefahaman atau keilmuannya) dalam kalangan para sahabat. Ini kerana adanya Ibnu Abbas yang menjadi sumber rujukan utama penafsiran Al-Quran di kalangan para sahabat. Ada pula Abu Hurairah yang menjadi sumber rujukan utama Hadis. Hadis yang diriwayatkan Abu Bakar sangat sedikit menunjukkan beliau tidak menjadi guru agama yang mempunyai ramai anak murid yang mencatatkan kata-katanya. Sebab itu Syiah memanggil pemerintahnya sebagai Imam yang mempunyai konotasi politik dan spiritual sedangkan ASWJ memanggil pemimpinnya sebagai amirul mukminin yang membawa maksud ketua yang dipersetujui oleh orang mukmin.

Golongan Syiah terus menerus menjadikan Ali dan keturunannya sahaja sebagai yang layak menjadi pemimpin seluruh ummat Islam. Ini kerana Syiah percaya hanya para Imam Ahlul Bait sahaja mempunyai koleksi hadis dan Al Quran yang tidak didedahkan kepada orang lain. ASWJ pula bersikap sesiapa sahaja yang telah mendapat persetujuan ramai melalui sistem syura layak memerintah walaupun bukan yang paling faqih daripada kalangan sahabat. Malah semasa pemerintahan zaman dinasti Umayyah, Abbasiyah dan Utsmaniyyah, ulama yang faqih daripada ASWJ mengambil peranan sebagai penasihat kepada umara (pemerintah). Lihat saja empat imam besar mazhab yang tidak berusaha untuk mendapatkan kuasa politik walaupun mempunyai ramai anak murid dan pengikut. Jangan salah anggap Pak Abu mengatakan mereka berlepas diri daripada politik. Mereka tidak berusaha ke arah mendapatkan kuasa sebaliknya mereka berpolitik secara gerakan massa (civil movement) atau pressure group kepada pemerintah dan menolak dilantik secara terus menjadi orang berkuasa. Secara pasti, doktrin ‘kepimpinan ulama’ (hanya ulama layak memerintah) tidak terlintas dalam ajaran ASWJ. Hanya yang pasti ada di dalam cara berfikir ASWJ adalah syura mesti menjadi pemutus utama keputusan penting tidak kira sesiapa pun yang menjadi pemimpin utama.

Teokrasi kepimpinan ulama tiada di dalam tradisi ASWJ yang pentingkan syura dalam memilih pemimpin

Teokrasi kepimpinan ulama tiada di dalam tradisi ASWJ yang pentingkan syura dalam memilih pemimpin

Imam Khomeini menulis buku bertajuk Velayat E-Faqeeh (wilayah al faqih) sebagai doktrin untuk disebarkan kepada para pengikutnya di Iran sebelum revolusi. Kandungan buku itu menceritakan bahawa Iran telah tersesat kerana unsur-unsur Islam telah dilupakan oleh pemerintahan Shah Iran. Buku itu menulis apabila Imam ke-12, Imam Al-Mahdi, menghilangkan diri pada 941, maka yang layak menggantikannya adalah para ulama Syiah. Jadi apabila Syiah percaya bahawa Imam Ahlul Bait itu maksum (tidak berbuat kesalahan atu dosa), maka para pengganti mereka, yakni para ulama Syiah, juga semestinya maksum. Jadi ini menjadi asas untuk menjatuhkan pemerintahan Shah Iran dan pada 1979, perlembagaan Iran telah mematerikan secara rasmi ideologi kepimpinan ulama.

Ideologi ‘kepimpinan ulama’ (atau faqih seperti disebut Imam Khomeini) telah diambil dengan penuh semangat oleh golongan pemuda PAS yang ingin menjatuhkan Dato Asri. Haji Subki Abdul Latif sebagai setiausaha Dewan Pemuda PAS bersama Ustaz Abu Bakar Chik dan Ustaz Suhaimi Haji Ahmad telah mengadakan lawatan rasmi ke Iran sebagai tanda sokongan kepada pemerintahan ulama Syiah di Iran. Pada tahun 1982, sekali lagi PAS menghantar wakilnya, Mustafa Ali (sekarang setiausaha agung PAS) bersama Mohd Rusdi Arif untuk mempelajari lebih lanjut tentang kepimpinan ulama. Doktrin kepimpinan ulama di dalam PAS diperkukuhkan apabila dalam tahun 1983, pindaan perlembagaaan PAS dibuat untuk menubuhkan Majlis Syura Ulama.

Luahan perasaan Dato Asri Muda

Luahan perasaan Dato Asri Muda mengenai usaha terancang menjatuhkan beliau dan pengaruh ideologi Velayat E-Faqeeh dalam pemikiran pemuda PAS

Kepelbagaian Pendapat perlu Syura bukan Veto Ulama

Jangan salah anggap artikel ini mengutuk kepimpinan ulama di dalam PAS. Jikalau seseorang itu percaya ulama layak menjadi pemimpin, kepercayaan itu tidaklah menjadikan seseorang itu rosak akidah atau menjadi Syiah. Tetapi, yang menjadi kritikan adalah doktrin ‘kepimpinan ulama’ ini telah dijadikan alasan oleh golongan UG untuk menyekat kebanyakkan idea dan pendapat daripada golongan bukan ulama yakni yang tidak mempunyai kelulusan peringkat tinggi dalam bidang agama. Presiden pula dipercayai mestilah daripada kalangan ulama sahaja walaupun tidak mempunyai kebolehan memimpin seperti mana yang telah dibuktikan dengan kehilangan Terengganu. Kepercayaan hanya ulama sahaja layak jadi pimpinan tertinggi PAS tiada asalnya kerana sebelum pembolotan kuasa ulama tahun 1982, golongan professional seperti Dr Abbas Ilias, Dr Burhanudin Al Helmy dan Dato Asri Muda yang menjadi YDP (sekarang dipanggil presiden).

PAS memang sejak daripada awal terdiri daripada manusia pelbagai ideologi, fikrah dan fahaman. Yang menyatukan mereka adalah kecintaan kepada Islam. Yang mengelakkan mereka berpecah sebenarnya adalah syura atau kebebasan berpendapat. Pembolotan kuasa geng ulama ala Khomeini telah merosakkan PAS dan menyukarkan PAS mendapat sokongan. PAS akan terus kelihatan jumud, statik, dan sukar bertindak atau mengambil peluang.

Ulama yang prihatin akan kesusahan rakyat menolong memikul beban barang satu plastik

Ulama yang prihatin akan kesusahan rakyat menolong memikul beban barang satu plastik

Artikel ini tidak mengatakan ulama-ulama dalam PAS bodoh belaka, tetapi apabila suatu idea tidak dicabar atau diperdebatkan, maka akan keluarlah idea-idea kurang bijak menjadi polisi parti tanpa tapisan. Ini kerana apabila ulama mengeluarkan pendapat, maka semua orang tunduk belaka kerana takut dituduh tidak wala dan tidak tsiqah, walaupun idea (apabila keluar dari mulut ulama, idea mendapat status fatwa) itu tidak dapat diterima akal. Contohnya dalam amanat Hj Hadi yang mengatakan seseorang yang mati dalam perjuangan menentang umno adalah bertaraf syahid, sekian lamanya tidak dicabar oleh sesiapa di dalam PAS. Sedangkan amanat tersebut tersangatlah subversif dan membuka pintu fitnah. Betapa ramai orang kampung di pantai timur yang berimamkan dua imam solat jumaat dan saling bermusuh kerana berbeza parti. Pak Abu sendiri yang berasal dari pantai timur mengalaminya. Tetapi, Haji Hadi kemudian boleh pula mencadangkan Unity Government (UG) untuk UMNO dan PAS bekerjasama sedangkan ianya amat berbeza dengan amanatnya pada tahun 80 an. Bukankah ini menunjukkan dia sendiri tidak mengikut amanatnya? Kerana apa tidak ikut? Sudah tentu kerana dia sendiri merasakan amanatnya tidak betul. Persoalan lebih menarik, kenapa tatkala amanat itu didoktrinkan oleh pimpinan ulama kepada ahli tiada siapa membangkang? Kerana tiada siapa sanggup dituduh menentangkan kepimpinan ulama.

Amanat sebegini perlu diperdebatkan di dalam syura dan bukan dikeluarkan semberono oleh ulama yang tetap dapat satu pahala jikalau tersilap ijtihad

Ideologi sebegini perlu diperdebatkan di dalam syura dan bukan dikeluarkan secara semberono oleh ulama yang tetap dapat satu pahala jikalau tersilap ijtihad

Begitu juga tatkala Hadi mengatakan tidak boleh bekerjasama dengan bukan Islam di dalam pemerintahan. Sekarang atas semangat tahaluf siyasi, boleh pula PAS bersama dengan DAP? Kenapa begitu? Sekali lagi saya katakan ini adalah kerana konsep kepimpinan ulama yang menyebabkan idea kurang cerdik yang tidak boleh diterima akal begitu mudah menjadi polisi PAS kerana ia tidak diperdebatkan dengan sepatutnya. Kerana ahli bukan ulama hanya layak menjadi tukang angguk sahaja apabila sesuatu idea keluar dari mulut ulama. Apa tidaknya, apabila ulama tersalah membuat ijtihad dikatakan tetap mendapat satu pahala dan jikalau ulama tepat ijtihadnya maka dapat pula dua pahala. Pemimpin perlu kreativiti dan bukan sifat maksum yang diada-adakan. Di dalam Al-Quran diceritakan betapa pentingnya kreativiti dalam mengurus masyarakat seperti Nabi Yusuf yang mencadangkan solusi ekonomi kepada krisis kebuluran di Mesir, ataupun seperti Iskandar Zulkarnain yang mencadangkan solusi teknologi untuk menyekat ancaman Yakjuj Makjuj.

asdas

Ideologi sebegini perlu diperdebatkan di dalam syura dan bukan dikeluarkan secara semberono oleh ulama yang tetap dapat satu pahala jikalau tersilap ijtihad

Kesimpulan

PAS sebagai parti yang menjadi harapan rakyat perlu berfikir secara inklusif dan bukan ekslusif bahawa hanya ahli PAS sahaja layak memberikan pendapat tentang hal ehwal parti. Sebabnya bila datang pilihanraya, yang bukan ahli dipujuk rayu untuk memberikan undi. PAS perlu serius untuk mengembalikan peranan syura yang disertai oleh pelbagai latar belakang dan tidak membiarkan golongan UG berbuat sewenang-wenangnya melanggar disiplin parti semata-mata atas nama ‘kepimpinan ulama’. Ada ulama yang benar-benar layak memimpin dan kita mesti mengiktiraf kebolehannya dan bukan menyokongnya semata-mata kerana dia berstatus ulama. Begitu juga ramai professional yang tidak layak memimpin tetapi janganlah pula ditolak pendapatnya semata-mata kerana mereka bukan dari kalangan ulama. PAS sebagai parti yang mendukung demokrasi sudah semestinya perlu menghidupkan budaya demokrasi di dalam PAS sendiri. Setiap polisi PAS perlulah melalui syura yang mengambil kira pendapat mereka yang layak dari pelbagai latar belakang.

Bacaan kalau rajin nak baca sendiri:

Sejarah kepimpinan ulama daripada blog pemimpin PAS 

Sejarah PAS daripada blog pemimpin PAS

Sejarah PAS daripada website rasmi

Buku Velayat E-Faqeeh karangan Imam Khomeini

Pak Abu Tufah merupakan seorang pemerhati dan pengkritik permainan wayang-kulit politik Malaysia. Beliau merupakan penulis tamu di STRATA Consulting.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s