RasISMA, Apartheid dan FasISMA: Perspektif Sejarah Quranik

Dr. Azam Che 28/05/2014

 

 

Virus RasISMA Menyerang Malaysia

Akhir-akhir ini kedengaran riuh ribut seruan pemecah belah masyarakat majmuk Malaysia, yang dimulakan oleh satu kumpulan dan disambut dengan cemuhan dari kumpulan yang lainnya. Jikalau diperhatikan media perdana mahupun media sosial, dapat difahami ianya bermula tatkala satu kumpulan Nazi-Melayu -meminjam istilah dari novelis Faisal Musa- mengecam bangsa selain dari bangsa Melayu sebagai penceroboh, dibawa oleh British untuk membuat kacau di tanah Melayu ini. Lantas membuatkan satu urgensi agar persoalan bangsa dan kewarganegaraan dibincangkan di ruang pemikiran terbuka. Dalam ruang akademik selalunya dibezakan antara ras, kaum etnikdan bangsa. Ras menggambarkan identifikasi seseorang berdasarkan fizikalnya yang dinasabkan secara kepada sesuatu etnik. Etnik atau juga kaum pula menggambarkan sekumpulan manusia yang berkongsi nilai sejarah dan kebudayaan. Manakala bangsa pula adalah tingkatan lebih tinggi lagi dari definisi etnik dimana ia mengandungi juga aspek perkongsian aspirasi malah ada sesetengah mengatakan persamaan agama. Lalu pelbagai persoalan timbul dan konteks masyarakat majmuk di Malaysia, contohnya adakah wujud bangsa Malaysia -selepas diwujudkan Malaysia sebagai sebuah negara- yang menyatukan semua etnik? Adakah semua etnik di Malaysia condemned untuk terus berada dalam kitaran kebencian antara satu sama lain? Apakah isu ini wujud akibat dari pertembungan -budaya/politik/agama/ekonomi- antara bangsa Melayu dan selain Melayu? Dan pelbagai lagi soalan yang boleh dibincangkan selain dari di atas.

Saya sendiri cenderung untuk menggunakan perkataan ummah atau citizenship yang menghuraikan keterikatan pelbagai suku, etnik dan bangsa di dalam satu negara; selari dengan artikel saya sebelum ini yang membincangkan tentang konsep Ummatan Wahidah (ummah yang satu) yang Rasulullah s.a.w. gunakan dalam Piagam Madinah semasa ditubuhkan sebuah negara yang religiously and ethnically diverse. Dalam piagam tersebut, Rasulullah mengatakan suku Quraisy (yang berhijrah ke Madinah), suku Aus (asal Madinah), suku Khazraj (asal Madinah), dan lebih kurang sepuluh suku dari bangsa Yahudi (asal Madinah) disatukan dibawah nama Ummah Wahidah, sebagai warganegara Madinah. Penggunaan perkataan ummah dalam konteks Malaysia bagi saya lebih sesuai kerana persoalan etnik, ras dan bangsa adalah persoalan yang selalu dianggap sensitif dan mereka yang membicarakan tentang persoalan ini boleh dengan mudah dianggap sebagai rasis. Sepertimana istilah liberal yang dengan mudah dilabelkan kepada sesama Islam untuk menggambarkan kesesatan, istilah rasis atau kadang-kadang cauvinis, dilemparkan sewenang-wenangnya oleh kumpulan Nazi-Melayu kepada kumpulan yang mempertahankan hak kaum mereka; padahal Nazi-Melayu itu sendiri penuh dengan kebencian dan prejudis perkauman.

Mengambil stail penulisan artikel sebelum ini juga, saya cuba mencari jawapan kepada persoalan rasisma atau prejudis perkauman ini melalui contoh sejarah yang datang dari sumber keilmuan Islam yang utama, yakni Al Quran dan Hadis. Ini kerana, sejarah prejudis perkauman dan kezaliman rasisma dalam millieu negara Eropah adalah dikaitkan secara kuat dengan kisah di dalam Injil. Mungkin yang menonton filem Noah (lakonan Russell Crowe, diharamkan di Malaysia) akan perasan babak dimana Nabi Noah, sepertimana yang tercatat didalam Injil, telah melaknat anaknya bernama Ham dan keturunan Ham akan diperhambakan oleh keturunan adik-beradiknya yang lain. Ham adalah berkulit hitam manakala adik beradiknya berkulit cerah, dan kisah ini menjadi satu justifikasi moral untuk sejarah perhambaan bangsa kulit hitam di dunia Barat. Jadi bagaimanakah pula Al-Quran menanggapi isu prejudis perkauman begini? Saya percaya, pengajaran-pengajaran besar boleh didapati di dalam kisah perhambaan Bani Israel di Mesir yang terkandung di dalam pelbagai surah Al-Quran.

Bani Israel Sebagai Model Memahami RasISMA

Bani Israel, atau bangsa Yahudi (Jewish race/nation) adalah bangsa yang istimewa. Salah satu sebabnya, ia merupakan bangsa yang sangat banyak disebut di dalam Al-Quran, yakni sebanyak 42 kali Tuhan memanggil mereka dengan nama bangsa mereka. Mereka juga disebutkan sebagai diberikan kelebihan yang tidak diberikan kepada selain mereka dalam alam ini (lihat 2:47 dan 2:122). Bani Israel juga unik kerana dalam identiti mereka, ras, etnik, semangat kebangsaan dan agama mereka adalah saling berkait rapat. Agak selari dengan Melayu menurut definisi tradisional dimana Melayu difahami sebagai etnik satu budaya dan satu agama sekaligus. Walaubagaimanapun, relevannya definisi begini di zaman mutakhir ini boleh diperdebatkan apabila Yahudi secara etnik sendiri sudah ramai yang membuang agama mereka dan ramai pula yang mengadaptasi budaya lebih dominan akibat globalisasi; juga sama seperti hilangnya ke-Melayu-an seperti yang ditangisi oleh Nazi-Melayu. Dari manakah asal-usul Yahudi sebagai satu bangsa yang terasing dari bangsa-bangsa lain?

Bani Israel seperti namanya yang bermaksud ‘anak Israel’ adalah keturunan Nabi Yaakob. Nabi Yaakob mengikut pendapat beberapa ulama, diberikan nama gelaran Israel dari Tuhan sendiri dan keturunannya digelar Bani Israel. Asal bangsa ini adalah seperti yang diceritakan di dalam Al-Quran surah Yusuf yang menceritakan bagaimana Israel dan anak-anaknya berhijrah dari satu tempat ke Mesir. Ia bermula dengan anak-anak Nabi Yaakob yang membenci salah seorang dari mereka, yakni Nabi Yusuf dan membuangnya ke dalam perigi. Nabi Yusuf dijumpai oleh pedagang dan dijual di Mesir sebagai hamba. Nabi Yusuf mengalami keperitan dan kesulitan hidup sehinggalah dia dilantik oleh pemerintah Mesir menjadi penjaga perbendaharaan negara (menteri kewangan).

12:55 “Berkata Yusuf: “”Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan.

Nabi Yusuf dalam beberapa tahun kemudian dilantik menjadi Al-Aziz yakni boleh difahami sebagai ketua eksekutif kerajaan dan pengurus segala hal ehwal Mesir.

12:78 “Mereka berkata (kepada Yusuf): “”Wahai Al Aziz, sesungguhnya ia mempunyai ayah yang sudah lanjut usianya, lantaran itu ambillah salah seorang di antara kami sebagai gantinya, sesungguhnya kami melihat kamu termasuk orang-orang yang berbuat baik””.”

Penghormatan ke atas Nabi Yusuf ditambah apabila dia dilantik menjadi raja kecil atau co-regency di Mesir. Malah ada ulama yang menafsirkan ayat dibawah dengan mengatakan Yusuf menjadi raja Mesir selepas kematian raja sebelumnya.

12:101 Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian takbir mimpi. (Ya Tuhan). Pencipta langit dan bumi. Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang saleh.

Timbul persoalan, bagaimanakah Nabi Yusuf sebagai bangsa asing, boleh mendapat kepercayaan pemerintah Mesir pada waktu itu? Kajian sejarah mengatakan pada waktu itu Mesir berada di bawah pemerintahan kaum ‘pendatang’ yakni bangsa Hyksos yang datang dari sebelah Asia. Secara etniknya mereka adalah dari rumpun bangsa Arab dan mereka menjajah Mesir dan menghalau bangsa pribumi, bangsa Qibti (copt), ke selatan Mesir yang kurang subur lagi kurang maju berbanding kawasan delta sungai Nil di utara. Ini dibuktikan apabila di dalam Al Quran, semasa zaman Yusuf, pemerintahnya dipanggil sebagai Raja (Malik) dan bukan Firaun yakni gelaran pemerintah Mesir mengikut bahasa Qibti. Jadi Raja dari bangsa Hysos lebih mudah untuk menerima individu yang bukan dari kaum pribumi sebagai menteri.

12:54 “Dan raja (Al-Malik) berkata: “”Bawalah Yusuf kepadaku, agar aku memilih dia sebagai orang yang rapat kepadaku””. Maka tatkala raja telah bercakap-cakap dengan dia, dia berkata: “”Sesungguhnya kamu (mulai) hari ini menjadi seorang yang berkedudukan tinggi lagi dipercaya pada sisi kami””.”

Setelah mendapat posisi yang tinggi dalam strata masyarakat Mesir, Nabi Yusuf membawa ayah, ibu dan adik-beradiknya semua untuk menetap di Mesir. Selama beberapa ratus tahun mereka berkembang dan akhirnya menjadi satu bangsa yang terasing dari bangsa-bangsa lain di kota metropolis Mesir. Walaupun lahir di luar Mesir, mereka berkembang sebagai satu bangsa yang tersendiri adalah akibat dari penyatuan mereka di Mesir. Mereka membentuk budaya dan tradisi mereka sendiri kesemuanya di dalam negara Mesir. Tidak ada Bani Israel pra-Mesir. Sebelum Mesir mereka tidak bersatu kerana Nabi Yusuf terpisah daripada adik-beradiknya yang lain. Jadi mereka, walaupun membentuk budaya dan tradisi mereka sendiri, secara antropologi-nya mereka sebagai bangsa adalah anak jati Mesir, dilahirkan di Mesir. Mereka adalah warga negara dan warga tempatan Mesir dan tidak pula boleh dilabel pendatang kerana sebelum Mesir mereka (Bani Israel) tidak wujud. Apatah lagi disebutkan dalam kajian sejarah, golongan elit Hyksos sebagai pendatang mengadaptasi kebudayaan tempatan dan menanggalkan banyak dari kebudayaan mereka sendiri, maka tidak keterlaluan jikalau dikatakan yang Bani Israel juga mengambil kebudayaan tempatan dalam tindak tanduk mereka.

Chariot yang diperkenalkan oleh Hyksos di Mesir

Chariot yang diperkenalkan oleh Hyksos di Mesir

Namun begitu, kehadiran Hyksos dan Bani Israel di Mesir tidak disukai oleh bangsa Qibti. Sudah tentu sebab utama adalah kerana bangsa Hyksos itu adalah penjajah Mesir. Tetapi saya melihat faktor yang akhirnya menyebabkan kebangkitan semula kerajaan Firaun dari selatan adalah akibat dari masalah mobiliti sosial yang almost non-existant di Mesir kuno. Seorang anak akan mewarisi pekerjaan bapa dan datuknya. Bangsa Hyksos adalah kerabat diraja. Bani Israel pula adalah bangsawan seperti Nabi Yusuf ataupun menjadi golongan peniaga/usahawan seperti adik beradik Nabi Yusuf. Jadi bangsa Qibti merasai keperitan menjadi golongan marginalized di bumi sendiri. Bukti kepada argument saya yang mengatakan kesempitan mobiliti sosial di Mesir adalah semasa zaman Nabi Musa yang mana penindasan keatas Bani Israel berada di puncaknya, Qarun, seorang dari Bani Israel, menjadi orang kepercayaan Firaun dalam menguruskan kewangan negara; sama seperti Nabi Yusuf semasa awal kedatangan Bani Israel. Sebab itu namanya sering kali digandingkan bersama Firaun dan Haman (orang kanan Firaun zaman Nabi Musa).

29:39 Dan (juga) Karun, Firaun dan Haman. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Musa dengan (membawa bukti-bukti) keterangan-keterangan yang nyata. Akan tetapi mereka berlaku sombong di (muka) bumi, dan tiadalah mereka orang-orang yang luput (dari kehancuran itu)

40:24 “kepada Firaun, Haman dan Qarun; maka mereka berkata: “” (Ia) adalah seorang ahli sihir yang pendusta””.”

Qarun, berketurunan Bani Israel, mewarisi kepandaian mengurus kewangan dengan baik, dan kepandaiannya itu tidak didapati kepada bangsa pribumi Qibti kerana mobiliti sosial yang rendah. Jikalau ada dari bangsa pribumi yang boleh mengurus ekonomi dengan baik dan mengekalkan kekayaan Firaun, maka tidak perlu lagi dilantik seorang dari Bani Israel yang dibenci oleh Firaun.

28:78 “Qarun berkata: “”Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, karena ilmu yang ada padaku””

Bani Israel Mangsa RasISMA

Selepas lebih kurang 300 tahun Bani Israel berkembang di Mesir hasil perlindungan dan hubungan rapat dengan golongan elit Hyksos, Mesir mengalami satu perubahan politik yang besar. Bangsa pribumi Qibti dengan diketuai oleh pemerintah bergelar Firaun, yang masih mengekalkan kuasa di selatan Mesir, mula melancarkan siri serangan yang berjaya melemahkan pemerintahan bangsa Hyksos di utara. Bangsa Hyksos dikepung di dalam suatu daerah kecil dan akhirnya dihalau terus dari Mesir menuju ke Syam (Greater Syria). Tidak diceritakan di dalam kajian sejarah moden tentang berapa ramai dari Bani Israel yang mengikuti mereka melarikan diri ke Syam tetapi yang pasti Bani Israel diceritakan dalam Al-Quran sebagai bangsa yang ditindas di Mesir. Al-Quran juga tidak memberikan fokus kepada bangsa Hyksos samaada mereka juga diperhambakan jadi ini menyebabkan saya cenderung untuk mengatakan kebanyakan Bani Israel ingin melarikan diri tetapi dihalang. Teori ini juga menjadi significant kerana disebutkan penghujung kisah perhambaan Bani Israel adalah mereka berjaya melarikan diri dengan membelah laut menuju ke Syam. Jadi sememangnya mereka ingin melarikan diri tetapi Firaun yang menjatuhkan pemerintahan Hyksos tidak membenarkan mereka keluar dari Mesir sama seperti Hyksos.

28:3 Kami membacakan kepadamu sebagian dari kisah Musa dan Firaun dengan benar untuk orang-orang yang beriman.

Perhambaan Bani Israel sudah berlangsung sekian lama (lihat 7:129) tetapi Al-Quran menjadikan naratif sejarah bangsa tersebut semasa zaman Nabi Musa sebagai fokus utama. Ini kerana disebutkan Firaun pada zaman ini dikenali sebagai Firaun Pemilik ‘Awtad’ (lihat 38:12 dan 89:10) yang bermaksud pasak yang digunakan di dalam pembinaan. Gunung-gunung juga digambarkan sebagai ‘awtad’ (pasak bumi) di dalam Al-Quran. Sememangnya kajian sejarah menunjukkan Firaun pada zaman Musa yang dikenali sebagai Ramses II sebagai Firaun yang paling banyak membina bangunan. Pembinaan bangunan yang banyak ini memerlukan sangat banyak tenaga buruh paksa yang didapati dengan perhambaan Bani Israel secara sistematik. Malah pada zaman Firaun Ramses II inilah dikatakan zaman azab paling buruk pernah dihadapi oleh Bani Israel (lihat 2:49).

Perhambaan dalam projek pembinaan di Mesir kuno

Perhambaan dalam projek pembinaan di Mesir kuno

28:4 Sesungguhnya Firaun telah mengangkat dirinya di muka bumi (‘ala fil ardh) dan menjadikan penduduknya berpecah belah (shiya’a), dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Firaun termasuk orang-orang yang berbuat kerusakan.

Firaun pada zaman Nabi Musa dikatakan memecah belah masyarakat majmuk Mesir dengan menindas segolongan (Bani Israel dan lain-lain bukan Qibti) dan membiarkan pula segolongan (Qibti) yang lain. Pemisahan dan pengkelasan masyarakat oleh pemerintah berdasarkan kaum ini juga disebut dalam bahasa moden sebagai apartheid. Ini adalah strategi biasa dalam pemerintahan kuku besi untuk memecah belah masyarakat dengan niat agar pemerintah dapat memonopoli kuasa; konsep divide and rule. Sama seperti yang diamalkan oleh kuasa imperial British di banyak kawasan jajahan mereka di awal zaman moden (termasuk Malaysia). Malah divide and rule yang membawa kepada concentration of power oleh Firaun sesuai dengan perkataan ‘ala fil ardh yang membawa maksud mengangkat dan meninggikan dirinya, yakni Firaun membolot kesemua kuasa ala diktator. Tidak mungkin masyarakat majmuk yang toleran, bersatu padu dan memiliki hak bersuara akan bersetuju dengan pemerintahan Firaun secara kuku besi. Hanya masyarakat majmuk yang prejudis terhadap satu sama lain akan rela tunduk kepada kerajaan yang korup lagi menekan semata-mata untuk menjaga untung nasib kumpulan sendiri. Perbincangan Firaun dalam sisi pandang ideologi fasisma akan disambung di seksyen lain. Firaun pada zaman Nabi Musa juga dikatakan lebih kejam dari zaman lain kerana pada Firaun bermimpi yang seorang lelaki yang lahir dari perempuan Bani Israel akan menjatuhkan kekuasaannya satu hari nanti. Maka dia membunuh kesemua anak lelaki yang dilahirkan pada tahun tersebut.

28:5 Dan Kami hendak memberi karunia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi),

28:6 dan akan Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi dan akan Kami perlihatkan kepada Firaun dan Haman beserta tenteranya apa yang selalu mereka khawatirkan dari mereka itu

Ayat 28:5 – 6 membuka persoalan yang menarik apabila Al-Quran mengatakan yang Tuhan Maha Kuasa ingin memberikan kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi Mesir dan Tuhan akan menjatuhkan Firaun dan Haman sepertimana yang mereka takuti. Apa yang menarik adalah, Tuhan tidak menjadikan Bani Israel sebagai protagonis dan Qibti sebagai antagonis dalam naratif sejarah ini. Tetapi, protagonisnya adalah ‘orang-orang yang tertindas’ manakala antagonisnya adalah ‘Firaun, Haman dan tenteranya’ yakni orang-orang yang berkuasa di Mesir. Jadi naratifnya bukanlah kerana Bani Israel itu istimewa secara semulajadinya lalu perlu sentiasa dimenangkan tetapi Tuhan yang Maha Penyayang amat mengasihani mereka yang ditindas dan ingin melepaskan mereka dari penindasan. Begitu juga, bukanlah kesemua bangsa Qibti, kaum pribumi Mesir itu yang jahat dan perlu ditimpakan bala, tetapi hanyalah pemegang kuasa di Mesir yang memperkenalkan dasar apartheid dan menggalakkan kebencian terhadap Bani Israel melalui propaganda itu yang perlu dijatuhkan. Tuhan itu sendiri tidak rasis dimana Dia tidak menjadikan bangsa Qibti lebih rendah statusnya berbanding Bani Israel; tetapi Tuhan itu Maha Adil dan akan menunjukkan keadilanNya dengan menghukum pelaku kezaliman. Bukannya keseluruhan bangsa Qibti itu yang dibenci Allah, tetapi hanya mereka yang sombong dan menindas. Jadi dosa rasisma di Mesir dinasabkan kepada Firaun dan para penguasa dan bukannya keseluruhan kaum Qibti

Apartheid yang dilaksanakan di Afrika Selatan

Apartheid yang dilaksanakan di Afrika Selatan

Apartheid yang dilaksanakan oleh Israel sekarang

Apartheid yang dilaksanakan oleh Israel sekarang

Kewarasan Fikiran asas Revolusi Anti-rasISMA

Dramatic irony dimasukkan ke dalam naratif sejarah Bani Israel apabila Firaun yang telah bermimpi dibunuh oleh seorang dari Bani Israel akhirnya membela dan mengasuh ‘musuh’-nya sendiri (lihat 28:7 – 13). Musa, yang bakal membawa revolusi di Mesir, membesar dalam istana Firaun dan mendapat segala keistimewaan kerana amat disayangi oleh isteri Firaun. Musa terlindung dari kezaliman yang berlaku di luar istana. Walaubagaimanapun, Musa dikurniakan oleh Tuhan dengan kematangan, ilmu dan hikmah (lihat 28:14) yang diperlukan oleh seorang pemimpin.

Musa sebagai seorang elit yang dibesarkan dalam kemewahan istana, tidak berasa janggal atau jijik untuk mencemar duli dan berada dalam masyarakat marhaen untuk memahami mereka. Di dalam ayat 28:15,

28:15 “Dan Musa masuk ke kota (Memphis) ketika penduduknya sedang lengah (ghaflah), maka didapatinya di dalam kota itu dua orang laki-laki yang berkelahi; yang seorang dari golongannya (Bani Israel) dan seorang (lagi) dari musuhnya (kaum Firaun). Maka orang yang dari golongannya meminta pertolongan kepadanya, untuk mengalahkan orang yang dari musuhnya lalu Musa meninjunya, dan matilah musuhnya itu. Musa berkata: “”Ini adalah perbuatan syaitan sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang menyesatkan lagi nyata (permusuhannya).”

Musa berjalan masuk ke dalam pasar besar di kota dan melihat pergaduhan antara dua lelaki. Semasa pergaduhan tersebut dilihatnya orang-orang lain di pasar berada dalam keadaan ‘ghaflah’ yakni leka, lengah lalai seolah-olah sudah terbiasa melihat perkelahian di pasar tersebut. Pergaduhan tersebut bukan antara dua orang yang sama status, tetapi antara Bani Israel (status rendah) dan kaum Qibti (status tinggi). Jadi pergaduhan tersebut apabila dilihat secara sekilas pandang sebagai termasuk perbuatan rasis. Al-Quran tidak pula mengatakan punca pergaduhan tersebut, tetapi seperti mana definisi rasisma yang mengatakan ia adalah penindasan bangsa yang dominan ke atas bukan dominan, maka pergaduhan seorang Qibti dengan seorang Bani Israel akan terlihat sebagai satu perbuatan perkauman. Apatah lagi apabila pemuda Bani Israel yang bergaduh itu kelihatan seperti lemah dan memerlukan pertolongan. Musa lantas bertindak atas apa yang dilihatnya, dan ditumbuknya pemuda Qibti yang sedang membelasah pemuda Bani Israel tersebut. Pemuda Qibti itu mati serta-merta.

Kematian pemuda Qibti akibat tumbukan Musa amat menggusarkannya. Sepertimana yang telah dibuktikan di zaman moden, penindasan kaum atau apartheid lebih berjaya dihapuskan apabila metod penentangannya dimulakan dengan cara yang lembut, melalui nonviolent action. Seorang dari Bani Israel memukul mati seorang pemuda Qibti di tengah-tengah pasar yang ramai orang boleh mencetuskan pergaduhan kaum! Jikalau pergaduhan kaum benar-benar berlaku, perbezaan antara yang benar dan yang salah akan kabur dan tidak akan mencapai objektif keamanan dalam keimanan yang ingin dicapai oleh Tuhan Maha Kuasa. Musa meminta ampun dari Tuhan dan berikrar tidak akan menyokong mereka yang melakukan perbuatan dosa (lihat 28:17); yakni golongan penindas dan yang pelampau. Bani Israel jikalau bangkit menentang pada waktu itu menggunakan jalan kekerasan dan memusuhi semua bangsa Qibti, mereka boleh termasuk golongan pelampau. Ini kerana punca penindasan di Mesir adalah Firaun dan polisi kerajaannya dan bukan bangsa Qibti. Ibarat orang Palestin yang membunuh semua Yahudi ataupun bangsa kulit hitam membunuh semua kulit putih di Afrika Selatan semasa zaman apartheid. Perlu dibezakan antara Yahudi dan Zionis dalam konteks Israel-vs-Palestine. Perlu juga dibezakan antara National Party yang membentuk kerajaan apartheid dengan orang kulit putih lain yang mungkin tidak menyokong dasar itu di Afrika Selatan.

Street on the first day of the rioting.

1967 Race Riot in Detroit, USA

Gambar semasa rusuhan kaum 13 Mei 1969

Gambar semasa rusuhan kaum 13 Mei 1969

Didalam ayat seterusnya, 28:18 – 21, Musa menolak untuk membantu apabila sekali lagi dia melihat seorang Bani Israel dibelasah oleh pemuda Qibti. Tetapi apabila dia kasihan melihat Bani Israel itu dipukul, dia di dalam dilemma dan akhirnya memutuskan untuk bertindak menghentikan pergaduhan itu. Dia ditegur dan dituduh sebagai ‘jabbar’ yakni pengganas yang kuat lagi kejam. Dia diberitahu pembesar Mesir sudah merancang untuk menangkap dan membunuhnya. Akhirnya Musa mengundur diri keluar dari Mesir.

Musa aktivis Anti-rasISMA

Ada dua misi utama diberikan kepada Musa setelah bertahun-tahun berkelana di negeri Madyan melarikan diri dari kezaliman di Mesir. Tuhan melantiknya sebagai Nabi dan memberikannya tugas untuk mengajak Firaun bertaubat lalu menghentikan perbuatan zalimnya (79:16 – 19) dan tugas yang kedua adalah misi membebaskan Bani Israel (20:47 – 48).

(79:16 – 19) Tatkala Tuhannya memanggilnya di lembah suci ialah Lembah Thuwa. Pergilah kamu kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas, dan katakanlah (kepada Firaun): “Adakah keinginan bagimu untuk membersihkan diri (dari kesesatan)Dan kamu akan kupimpin ke jalan Tuhanmu agar supaya kamu takut kepada-Nya?”

(20:47 – 48) Maka datanglah kamu berdua kepadanya (Firaun) dan katakanlah: “Sesungguhnya kami berdua adalah utusan Tuhanmu, maka lepaskanlah Bani Israel bersama kami dan janganlah kamu menyiksa mereka. Sesungguhnya kami telah datang kepadamu dengan membawa bukti (atas kerasulan kami) dari Tuhanmu. Dan keselamatan itu dilimpahkan kepada orang yang mengikuti petunjuk.Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami bahwa siksa itu (ditimpakan) atas orang-orang yang mendustakan dan berpaling”.

Seperti nabi-nabi yang lain, Nabi Musa dituduh sebagai tukang sihir, orang gila dan penipu. Tetapi yang lebih menarik lagi, Firaun juga membuat propaganda menipu rakyat Mesir dengan mengatakan Musa datang untuk merampas kuasa dan membuat keganasan.

7:110 “yang bermaksud hendak mengeluarkan kamu dari negerimu””. (Firaun berkata): “Maka apakah yang kamu anjurkan?”

7:127 Berkatalah pembesar-pembesar dari kaum Firaun (kepada Firaun): “Apakah kamu membiarkan Musa dan kaumnya untuk membuat kerusakan di negeri ini (Mesir) dan meninggalkan kamu serta tuhan-tuhanmu?”. Firaun menjawab: “Akan kita bunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup perempuan-perempuan mereka dan sesungguhnya kita berkuasa penuh di atas mereka”.

20:57 Berkata Firaun: “Adakah kamu datang kepada kami untuk mengusir kami dari negeri kami (ini) dengan sihirmu, hai Musa?”

40:26 Dan berkata Firaun (kepada pembesar-pembesarnya): “Biarkanlah aku membunuh Musa dan hendaklah ia memohon kepada Tuhannya, karena sesungguhnya aku khawatir dia akan menukar agamamu atau menimbulkan kerusakan di muka bumi”.

Masyarakat majmuk yang sudah pun terpisah akibat daripada racial segregration, disuntik pula dengan propaganda yang menambahkan lagi prasangka perkauman. Bani Israel akan bangkit, diketuai oleh Musa, untuk sekali lagi merampas hak kekayaan dan keistimewaan bangsa asal, yakni bangsa Qibti. Jikalau Mesir pada waktu itu pernah mengalami peristiwa 13 Mei seperti Malaysia, maka sudah tentu peringatan tentang 13 Mei akan digunakan oleh Firaun untuk menakut-nakutkan penduduk asal tentang ‘kejahatan’ bangsa pendatang/penceroboh. Propaganda sebegini tidak lain hanyalah untuk mengekalkan kuasa Firaun yang sebelum ini sudahpun bermimpi dia akan digulingkan oleh seorang pemuda dari Bani Israel.

Bani Israel menjadi mangsa propaganda prejudis perkauman, semasa zaman Mesir kuno dan semasa zaman moden

Bani Israel menjadi mangsa propaganda prejudis perkauman, semasa zaman Mesir kuno dan semasa zaman moden

Firaun Pelopor FasISMA

Firaun terus berlagak sombong dan dengan angkuh mengatakan kekayaan dan kemajuan Mesir adalah akibat dari pemerintahannya yang berkesan. Malah ‘self delusion‘ yang merasakan dirinya sebagai pemerintah yang hebat itu diadun bersama dengan kebanggaan terhadap keturunannya, lalu menjadikan dia merasa sebagai Tuhan negeri Mesir.

40:29 (Musa berkata): “Hai kaumku, untukmulah kerajaan pada hari ini dengan berkuasa di muka bumi. Siapakah yang akan menolong kita dari azab Allah jika azab itu menimpa kita!” Firaun berkata: “”Aku tidak mengemukakan kepadamu, melainkan apa yang aku pandang baik; dan aku tiada menunjukkan kepadamu selain jalan yang benar”.

43:51 “Dan Firaun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata: “Hai kaumku, bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; maka apakah kamu tidak melihat (nya)?”

Dialah paling hebat memerintah kerana dia berasal dari keluarga paling mulia dari kalangan bangsa paling mulia, yakni bangsa Qibti. Dia merasakan dirinya adalah berketurunan Tuhan. Siapakah Musa, budak hina dari Bani Israel, hendak melawannya. Siapakah pula Tuhan kepada Bani Israel ini jikalau hendak dibandingkan dirinya? Jadi dia membawa kefahaman bahawa tuhan untuk bangsa Qibti adalah dirinya sendiri dan Bani Israel pula mempunyai tuhan yang berlainan. Naratif ini dikuatkan lagi dengan fakta dari Al-Quran yang mengatakan hanya pemuda dari Bani Israel yang beriman kepada Nabi Musa (lihat 10:83).

28:38 Dan berkata Firaun: “Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah hai Haman untukku tanah liat, kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahwa dia termasuk orang-orang pendusta”.

Setiap kali bencana berlaku, mereka (Firaun dan pembesarnya) berkata kepada Musa “berdoalah kepada Tuhan engkau” (lihat 7:134), dan sedikitpun tidak mereka akui bahawa Tuhan kepada Musa itu adalah Tuhan yang satu yang menjadi Tuhan kepada semua manusia. Firaun tidak boleh menerima agama yang dibawa Musa kerana hanya Bani Israel, kaum yang hina, yang menganuti agama Musa. Firaun tahu sahaja bahawa agama itu agama yang benar dibawa oleh Yusuf beberapa ratus tahun dahulu. Tetapi sebagai seorang yang bersemangat perkauman yang tegar, tidak patut seorang Qibti itu menganut agama yang dianuti oleh Bani Israel. Pada waktu itu, Bani Israel adalah Islam dan Islam adalah Bani Israel. Seorang Qibti, haruslah menyembah Firaun. Dan Firaun, berketurunan dewa-dewa, mestilah kekal sebagai Tuhan orang Qibti. Firaun menggunakan kekuasaan kuku besinya untuk menghalang orang ramai terutama bangsa Qibti daripada beriman kepada Nabi Musa. Mereka yang beriman dituduh sebagai pengkhianat bangsa dan bersubahat dengan Nabi Musa bersama Bani Israel untuk menjatuhkan Firaun.

7:123 Firaun berkata: “Apakah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepadamu?, sesungguhnya (perbuatan) ini adalah suatu muslihat yang telah kamu rencanakan di dalam kota ini, untuk mengeluarkan penduduknya dari padanya; maka kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu ini);”

20:71 Berkata Firaun: “Apakah kamu telah beriman kepadanya (Musa) sebelum aku memberi izin kepadamu sekalian. Sesungguhnya ia adalah pemimpinmu yang mengajarkan sihir kepadamu sekalian. Maka sesungguhnya aku akan memotong tangan dan kaki kamu sekalian dengan bersilang secara bertimbal balik, dan sesungguhnya aku akan menyalib kamu sekalian pada pangkal pohon kurma dan sesungguhnya kamu akan mengetahui siapa di antara kita yang lebih pedih dan lebih kekal siksanya”.

26:29 Firaun berkata: “Sungguh jika kamu menyembah Tuhan selain aku, benar-benar aku akan menjadikan kamu salah seorang yang dipenjarakan”.

26:49 Firaun berkata: “Apakah kamu sekalian beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepadamu? Sesungguhnya dia benar-benar pemimpinmu yang mengajarkan sihir kepadamu maka kamu nanti pasti benar-benar akan mengetahui (akibat perbuatanmu); sesungguhnya aku akan memotong tanganmu dan kakimu dengan bersilangan dan aku akan menyalibmu semuanya”.

Sikap Firaun dan gaya pemerintahannya menyerlahkan persamaannya dengan ideologi fasisma seperti yang dilihat di zaman moden ini. Secara ringkasnya, fasisma yang muncul di era moden mempunyai tiga ciri utama:

  1. pemujaan negara bangsa (ultranationalisma)
  2. kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada satu pemerintah
  3. militarisma

Firaun membuat propaganda perlunya menyelamatkan Mesir dari penceroboh yang ingin menjajahnya seperti penjajah Hyksos dahulu. Sebarang aktiviti yang dilakukan oleh bangsa atau anasir asing perlu dilihat dengan extreme prejudice. Kemudian Firaun juga memaksakan kehendaknya ke atas seluruh rakyat Mesir. Beliau menjadi diktator yang langsung tidak boleh disanggah. Tujuan utamanya adalah pengekalan kuasanya dan bukannya survival bangsa Qibti itu sendiri yang lebih penting. Beliau juga membuat propaganda bahawa segala kemajuan Mesir adalah akibat dari keberkesanan pemerintahannya dan kesuciannya dirinya sebagai tuhan. Firaun menjadikan tiga teras utama dalam propagandanya; yakni, (a) Mesir adalah negara Qibti dan Bani Israel adalah penceroboh/penjajah, (b) Firaun adalah pembawa kemajuan/kebaikan dan Musa adalah pembawa kerosakan dan akhir sekali, (c) Firaun sebagai tuhan kepada Qibti dan Bani Israel mempunyai tuhan yang lain. Ini menyebabkan pemisahan total antara bangsa Qibti dan Bani Israel kerana tidak ada common values yang boleh menyatukan mereka lagi. Firaun juga tidak teragak-agak untuk menggerakkan seluruh batalion ketenteraannya untuk mencapai segala kehendaknya.

RasISMA dan FasISMA adalah kembar yang tidak dapat dipisahkan

RasISMA dan FasISMA adalah kembar yang tidak dapat dipisahkan

Sokong Kebenaran berbeza dengan Sokongan Assobiyah

Seruan Nabi Musa yang ingin membawa manusia kepada Tuhan Maha Kuasa dan penentangan aman terhadap rasisma itu tidaklah mendapat sokongan sepenuhnya dari Bani Israel sendiri. Sokongan terhadap Nabi Musa hanyalah didapati daripada sekumpulan pemuda dari Bani Israel seperti ditunjukkan dalam ayat dibawah:

10:83 Maka tidak ada yang beriman kepada Musa, melainkan pemuda-pemuda dari kaumnya (Musa) dalam keadaan takut bahwa Firaun dan pemuka-pemuka kaumnya akan menyiksa mereka. Sesungguhnya Firaun itu berbuat sewenang-wenang di muka bumi. Dan sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang melampaui batas.

Timbul persoalan mengapa tidak disebutkan golongan tua dari Bani Israel sebagai penyokong seruan Nabi Musa? Mungkin jawapannya berkaitan dengan traumatic bonding atau battered-person syndrome yang jikalau diaplikasikan secara kolektif di dalam masyarakat Bani Israel boleh dipanggil sebagai reluctance to change. Better the devil you know…

7:129 Kaum Musa berkata: “Kami telah ditindas (oleh Firaun) sebelum kamu datang kepada kami dan sesudah kamu datang. musa menjawab: “Mudah-mudahan Allah membinasakan musuhmu dan menjadikan kamu khalifah di bumi (Nya), maka Allah akan melihat bagaimana perbuatanmu.”

Ayat yang sama digunakan sebelum setiap revolusi bermula, akan ada suatu golongan yang pasif dan redho yang akan cakap bersyukurlah dengan apa yang ada; mempertahankan status quo. Seperti zaman sebelum merdeka, ada dari golongan terjajah yang berkata, kita belum boleh merdeka kerana kita belum mampu untuk mencipta walau sebatang jarum.

Tetapi ada juga penyokong seruan Nabi Musa terdiri dari kalangan inner circle Firaun sendiri. Seorang darinya adalah pembesar kerajaan Firaun yang mengingatkan Firaun bahawa apa yang dibawa Nabi Musa adalah sama dengan Nabi Yusuf lama dahulu (lihat 40:28 – 44). Seorang lagi adalah isteri Firaun sendiri (lihat 66:11) yang dahulunya menyelamatkan Nabi Musa dari disembelih oleh Firaun.

Tetapi Firaun mempunyai penyokong kuat dari Bani Israel sendiri, iaitu Qarun yang kaya raya. Qarun disebutkan sebaris dengan Firaun dan Haman kerana tiga tokoh ini merupakan tonggak kepada kerajaan zalim di Mesir. Firaun sebagai pemerintah tertinggi tentera, Haman sebagai perdana menteri dan Qarun sebagai menteri kewangan.

29:39 Dan (juga) Karun, Firaun dan Haman. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Musa dengan (membawa bukti-bukti) keterangan-keterangan yang nyata. Akan tetapi mereka berlaku sombong di (muka) bumi, dan tiadalah mereka orang-orang yang luput (dari kehancuran itu)

40:24 kepada Firaun, Haman dan Qarun; maka mereka berkata: “(Ia) adalah seorang ahli sihir yang pendusta”.

Kekayaan dan posisi Qarun sedikitpun tidak bermanfaat kepada Bani Israel yang diperhambakan. Pemikiran Qarun adalah sama seperti hartawan berbangsa Yahudi yang bersekongkol bersama Hitler dan Nazi semasa perang dunia kedua. Untung sendiri adalah lebih penting daripada bangsa sendiri yang tertindas.

28:76 Sesungguhnya Karun adalah termasuk kaum Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka (kaum Bani Israel), dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri”.

Akan ada juga dari bangsa yang ditindas akan menyokong bangsa yang menindas

Akan ada juga dari bangsa yang ditindas menyokong bangsa yang menindas

Akhirnya, klimaks kepada cerita ini adalah apabila Firaun dan pembesarnya dan tenteranya mengejar Bani Israel yang melarikan diri dari Mesir. Mereka semua ditenggelamkan di dalam laut. Tuhan tidak menghapuskan kesemua kaum Qibti sepertimana dalam kisah-kisah nabi yang lain, dimana keseluruhan kaum yang menolak dakwah akan ditimpa bala. Ini adalah kerana, kaum Qibti itu sendiri dihalang dari mendengar dakwah dari Nabi Musa akibat dari polisi yang diamalkan oleh pemerintahan despotik Firaun. Bangsa Qibti ditanam dengan semangat perkauman yang anti kepada Bani Israel dan ini menjadikan mereka tidak ingin mendengar seruan Nabi Musa. Malah Firaun mengugut untuk membunuh sesiapa yang menukar agamanya. Jadi Tuhan menghukum Firaun dan aparat-nya sahaja.

Beberapa Kesimpulan

Berdasarkan kisah ini, terlalu banyak pengajaran yang penting untuk dipelajari oleh seorang Islamis berjiwa negarawan dan ingin membangunkan negaranya. Kisah Nabi Musa dan Firaun tidaklah semudah kisah seorang nabi ditentang oleh seorang yang ingkar. Tersembunyi di sebalik kisah tersebut permasalahan sosio-ekonomik dan politik dan memerlukan pemerhatian yang teliti. Kesimpulan yang saya cadangkan adalah seperti senarai dibawah:

  1. Mesir sebagai tamadun awal dunia ini mencapai tahap negara kosmopolis yang menjadi tumpuan pelbagai bangsa. Ada waktunya bangsa selain dari bangsa pribumi yang memegang tampuk pemerintahan. Masalah mobiliti sosial akibat dari perwarisan jawatan/pangkat/harta menyebabkan bangsa pribumi merasa terpinggir (marginalized). Bangsa Qibti, diketuai oleh Firaun, bangkit merampas kembali kuasa. Sebagai balasan, Firaun memperkenalkan dasar perkauman apartheid untuk mengekang kuasa politik bangsa selain pribumi.
  2. Firaun di zaman Nabi Musa bukan setakat mengamalkan dasar perkauman tetapi memperhambakan Bani Israel untuk memenuhi keperluan tenaga kerja buruh kasar akibat dari pembangunan yang pesat. Dasar apartheid atau rasisma ini tidak sesuai ditentang dengan keganasan secara membuta tuli ke atas kaum yang dominan. Ini kerana ia boleh membawa kepada perbalahan atau keganasan kaum. Tidak semua bangsa Qibti itu mempunyai perasaan perkauman dan jikalau kesemua Bani Israel bangkit mengangkat senjata melawan bangsa Qibti maka perbalahan panjang yang merugikan kedua-dua pihak akan berlaku. Ini penting untuk difahami terutama oleh kita rakyat Malaysia yang mempunyai sejarah hitam 13 Mei. Janganlah galak sangat mencemuh antara satu sama lain antara bangsa Cina dan Melayu kerana jikalau 13 Mei berlaku sekali lagi maka tidak ada bangsa yang benar-benar untung. Pelajarilah konsep non-violent dalam menentang ketidakadilan dan dalam menyuarakan bantahan. National reconciliation seperti yang dibuat oleh Afrika Selatan setelah apartheid berjaya dijatuhkan boleh dijadikan panduan untuk menyatu-padukan masyarakat majmuk Malaysia.
  3. Pemimpin yang memecah-belah masyarakat dengan menanamkan perasaan prejudis adalah pemimpin yang sebenarnya memikirkan kekuasaan sendiri sahaja. Firaun tidak ikhlas dalam memperjuangkan bangsanya sendiri kerana ramai dari bangsa Qibti yang menganut atau menyokong Nabi Musa dibunuh atau dipenjarakan. Firaun hanyalah ingin mengangkat dirinya menjadi ‘tuhan’ yang ditaati dan dipatuhi oleh semua rakyatnya sepanjang masa. Ingatlah bahawa rasisma akan membawa kepada fasisma. Fasisma pula akan membawa kepada pemerintahan diktator yang mempertuhankan pemimpin.
  4. Sokongan kepada rasisma juga akan datang dari kaum yang ditindas. Samaada mereka mendapat habuan ataupun kerana mereka mempunyai perasaan reluctance to change akibat terlalu lama ditindas dan menjadi pengecut. Sokongan kepada kempen anti-rasisma juga mungkin datang dari bangsa yang dominan.
  5. Hukuman dari Tuhan turun kepada pemerintah yang memaksakan dasar rasisma itu di dalam negaranya dan bukan ke atas semua bangsa yang dominan itu. Jadi untuk mengubah dan menghalau semangat perkauman melampau, perlulah dijadikan pemimpin bangsa yang dominan itu sebagai sasaran kempen anti-rasisma. Dalam konteks Malaysia, sasaran kempen perlu ditujukan kepada barisan parti-parti pemerintah yang sekian lama mendapat manfaat daripada perpecahan masyarakat majmuk Malaysia. Juga kepada kumpulan Nazi-Melayu yang galak menabur racun perkauman di media massa.
  6. Pendakwah Islam juga boleh mendapat panduan daripada cerita Firaun ini yakni adalah amat malang sekali apabila agama Islam itu dinasabkan kepada sesuatu bangsa. Firaun berjaya mempengaruhi ramai Qibti bahawa agama yang Nabi Musa bawa hanyalah untuk Bani Israel sahaja. Tuhan Bani Israel adalah berbeza dengan Tuhan kepada bangsa Qibti. Ini menyebabkan halangan yang amat besar untuk orang bukan dari Bani Israel untuk menganut agama yang dibawa oleh Nabi Musa. Ini juga terjadi di Malaysia apabila Islam dinasabkan kepada Melayu sahaja.
  7. Sebagai epilogue, adalah amat menarik apabila diperhatikan di zaman moden ini, ramai dari Bani Israel, melalui organisasi Zionis, mengamalkan rasisma, apartheid dan fasisma secara sistematik di negara haram Israel. Bani Israel menjadi mangsa rasisma di kebanyakkan tempat mereka menumpang berteduh. Sungguh ironis sekali, akhirnya mereka (yakni Zionis) mengamalkan rasisma secara sistematik di tanah yang mereka rampas di timur tengah. History will repeat itself. Tuhan yang Maha Penyayang akan menghukum sesiapa sahaja yang berlaku zalim sekalipun selama ini Bani Israel telah diberikan kemenangan.

Bacaan Lanjut:

  1. Definisi mobiliti sosial:- http://en.wikipedia.org/wiki/Social_mobility
  2. Definisi rasISMA:- http://en.wikipedia.org/wiki/Racism
  3. Definisi apartheid:- http://en.wikipedia.org/wiki/Apartheid
  4. Definisi fasISMA:- http://en.wikipedia.org/wiki/Fascism
  5. Yahudi dan Bani Israel:- http://en.wikipedia.org/wiki/Jews
  6. Sejarah Bani Israel : – http://www.reshafim.org.il/ad/egypt/index.html
  7. Louay Fatouhi and Shetha Al-Dargazelli: The Mystery of Israel in Ancient Egypt
  8. Maurice Bucaille: The Quran and Modern Science
  9. Strategi National Reconciliation di Afrika Selatan:- http://en.wikipedia.org/wiki/Truth_and_Reconciliation_Commission_(South_Africa)

 

Dr. Azam Che ialah penyelidik dan penganalisa di STRATA Consulting, sebuah badan advokasi dan pemikir dengan pengkhususan kajian strategik dan analisa unjuran.

Advertisements

11 thoughts on “RasISMA, Apartheid dan FasISMA: Perspektif Sejarah Quranik

  1. Pandangan yg penuh kebencian dan tidak berasas dan dioengaruhi oleh perbezaan ideologi politik yg keterlaluan hingga membelakangkan silaturahim sesama bangsa. Tidak bijak dan prejudis.

  2. Orang2 komen kat atas ni baca ke tak artikel ini? komen2 anda x relevant. Tahniah Dr. Azam Che.

    Inspiring tadabbur, indeed.

  3. Penulis macam tak faham keadaan. Bukankah evangelist kristian yang menyerang dulu, meleburkan jatidiri Islam dan melayu. Cuba tengok bila mana pas nak bawak hudud, negara Islam. Dan siapa yang bela dan hentam balik evengelist kristian tu? Nazi-Islam yang dia sebut2 tu la jugak.

    Jalan cerita dah elok, cuma bila twist sana, twist sini, tutup mata sana, tutup mata sini, bilik yg terang dan berlampu sportlight pun cakap gelap.

  4. Assalamualaikum,

    Mantop artikel abg Azam!

    Terlalu senang untuk fokus/obses pada perkara yang “trending” sekarang (DAP serang Melayu?)
    Tapi take a few steps back and we realize that history is not a dead series of events;
    it is a living pattern…

    and sometimes it repeats itself eh? 😉

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s