Ineu Dengah? [Apa khabar?]

Fakhrul Ezam 08/04/2014

 

Tiba di simpang tiga. Ke kanan menuju Balingian. Ke kiri menuju Mukah. Tersergam gah poster calon DUN PRK Balingian, Haji Abdul Jalil Bujang dan ADUN PKR yang lain. Tidak pernah sama sekali aku mengambil langkah ke kanan.

poster keadilan balingian

Tersergam indah di simpang tiga, poster pimpinan Parti Keadilan Rakyat.

33 KM demikian tertera pada papan tanda di bahu jalan. Aku diasak untuk memandu terus ke Balingian. jauh kerana ini pertama kali ku menerjah jalan ini. Melalui ladang sawit, hutan simpan dan tersergam gah sebuah kilang besar arang batu di kanan jalan menuju Balingian. Jalannya lurus, tiada banyak kenderaan, sekali sekala bertemu poster dan bendera parti politik di bahu jalan.

Azan maghrib berkumandang. Segera kami mencari dari mana datangnya arah azan ini. Alhamdulillah, kami menemui Masjid. Langkah kanan ini diawali dengan menjejak kaki ke rumahNya. Usai maghrib, menyapa dan bersalam bersama jemaah masjid.

Tiada apa yang menarik perhatian kami di Balingian. Sebulat suara kami setuju untuk terus ke Mukah sahaja.

Misiku ke Mukah kali ini berbeza. Jika dahulu hadir mengisi program sebagai aktivis masyarakat kini misinya lebih besar. Bilik Gerakan singgahan pertama. Kelihatan beberapa individu yang ku kenali rapat sudah berada di sana.

Esok kami akan memulakan misi. Arahan diberi untuk berkempen rumah ke rumah di Balingian. Sekali lagi menuju Balingian. Kali ini laju sahaja aku meluncur bersama rakan-rakan seperjuangan. Tiba di pusat gerakan. Kami akan memulakan kempen rumah ke rumah usai zohor. Zohor di Surau Tuanku Haji Bujang di belakang bilik gerakan. Masihku ingat, imam waktu itu khilaf. Sujud nya pada rakaat keempat tiga kali. Jika sujud sahwi ia dilakukan selepas salam, namun ini sebelum salam. Kami berniat mufaraqah sebaik menyedari khilaf imam.

Sahabatku yang lain memberitahu, imam menegurnya bersolat dengan baju T-Shirt tertera tulisan berbahasa Inggeris. Aku hanya tersenyum. Imam itu usianya barangkali sudah menganjak 70an. Dalam panas terik ini kami berlima akan bergerak dari rumah ke rumah. Ada dua flyers diserahkan kepada kami untuk edaran. Dengan lafaz basmalah, kami menuruni anak tangga bilik gerakan. Rumah yang pertama masihku ingat, warnanya putih, tangganya rendah, rupanya dhaif. Itulah rumah pertama yang harus ku santuni. Ku berikan salam, keluar seorang wanita tua. Ku hulurkan flyers dengan kuntuman senyuman, menjemput ke program bersama DSAI maghrib kelak.

Sedikit gementar. Rumah kedua, rumah ketiga, rumah keempat. Kaki berjalan semakin cepat dan jauh. Keyakinan semakin meningkat. Ku berikan salam, ku kuntum senyuman, ku tanya khabar lalu ku berikan flyers. Kali ini respon semakin baik. Masuk ke lorong ketiga. Ku beri salam. Jawabnya sayup-sayup sahaja seperti orang sakit. Aku meneruskan langkah menaiki tangga masuk ke rumah. Seorang nenek tua sakit. Dia hanya duduk. Ku senyum lalu ku tanya khabarnya. Dia hanya mampu duduk. Anaknya tukang. Hanya mereka dua beranak tinggal di sini. Petang kelak baru anaknya pulang. Kasihan dan hiba menyelubungi. Rumah itu masih ku ingat. Ku beranjak ke rumah lain. Ku dengar salam dijawab seorang lelaki tua. Bila ku menapak ke tangga, datuk itu berkerusi roda. Lekas bininya dari dapur menyambutku. Ku sapa,  inew dengah? (Apa khabar?) Diak (Baik) katanya. Katanya dia hanya tinggal berdua di rumah ini bersama suaminya. Semakin hatiku hiba.

 

kesihatan balingian1 kesihatan balingian2

Pasukan kesihatan melakukan pemeriksaan kesihatan dari rumah ke rumah

Seorang datuk yang tua duduk di bawah rumah. Katanya, kaki sudah tak boleh berjalan jauh, selalu sahaja sakit. Ramainya penduduk kampung ini yang sakit. Pada usia emas seperti ini, mereka memerlukan perhatian dan rawatan kesihatan yang baik. Singapura sebuah negara yang dahulunya tanah Malaysia, menyatakan peruntukan khas untuk kesihatan warga emas di negara mereka. Sama hal juga seperti Korea, China dan Jepun. Namun Malaysia, kos rawatan dan perubatan semakin meningkat. Doktor sahaja banyak lari ke negara luar malahan tidak mahu berkhidmat dengan hospital kerajaan.

Di dapur surau kelihatan ramai sekali. Kami bertiga memberanikan diri. Memberi salam, menguntum senyuman lalu bertanya khabar. Borak-borak kami seperti menyantuni emak di dapur. Kemeriahan dan rapo mula dirasai. Hampir kami terlupa menyatakan hajat. Mujur ditanya kami terus menjawab. Syukur Alhamdulillah, mereka menerima dengan sangat baik. Rupanya, juadah yang disediakan mereka untuk jamuan selepas Isyak kelak bersama kami. Masya Allah, ini nikmat yang paling manis ku rasai pada hari itu.

Kami meneruskan langkah. Rumah mak cik itu usang. Dia berkebun menanam sayur sawi di halaman rumah. Katanya sudah sebulan tidak hujan di sini. Air paip juga kadang tiada. Jika adapun terlalu perlahan. Sebab itu dia menakung air hujan. Berpuluh tahun sudah katanya, mereka dijanjikan untuk mendapat bekalan air bersih yang lebih baik, namun janji hanya tinggal janji.

jambatan balingian

Jambatan usang sejak zaman komunis penghubung penduduk dengan pekan Balingian

Apa yang tinggal untuk Balingian ini? Jambatan usang sejak zaman komunis, pasar kayu mencecah 100 tahun, jalannya sempit, ekonominya mundur, anak-anak hanya mampu bermain di sungai, tiada taman permainan. Hanya pendidikan mampu mengubah semua ini. Langkah kanan ke Balingian tidak harus terhenti di sini. Langkah kanan ini harus disusuli langkah-langkah menapak menuju kejayaan. Insha Allah.

 

pasar balingian

Pasar lama di Pekan Balingian yang berusia hampir 100 tahun daripada kayu

 

En. Fakrul Ezam ialah penulis dan pemikir bersekutu di STRATA Consulting, sebuah badan advokasi dan pemikir dengan pengkhususan kajian strategic dan analisa unjuran. Beliau merupakan juga merupakan Sarawak Correspondent untuk STRATA Consulting. 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s