Ijtima’ Liberal Prihatin Masa Depan Muslim [16-18 Mac 2014]

Diterbitkan sebagai sebahagian dari siri Sekolah Liberalisma 

Muhammad Al-Mahdi      07/04/2014

 

 

“Jadikanlah liberalism itu seperti hobi anda (watak dalam kehidupan), kerana selalunya anda akan lebih mahir dan berjaya dalam hobi anda”

-Bapa liberal turki, Dr Attala-

 

Menghadiri sebagai peserta selama 3 hari dalam wacana intelektual anjuran Istanbul Network for Liberty  3rd Annual Conference buat julung kali bagi saya di Istanbul amatlah bermakna. Ia bagaikan sebuah kalung penghormatan untuk duduk semeja dengan intelektual libertarian dari seluruh Asia-Eropah . Kendatipun peribadinya saya, masih terasa perbezaan antara libertarian dan neo-liberalism tetapi sesungguhnya mereka masih bersaudara, perbahasan antara keduanya adalah didasari kebebasan bersuara jua. Pesertanya terdiri dari aktivis kebebasan dan hak asasi, para ahli ekonomi , ahli sejarah , ilmuan politik dan beberapa pelajar terpilih . Dijemput dari benua Amerika, Eropah dan Asia seperti Bosnia, UK,  Tunisa, Pakistan, Washington, Morocco, Mesir, Malaysia, Afghanistan, dan lain-lain. Tema kali ini adalah Values and Institutions of a Free Society in mainly Muslim Countries (Nilai dan institusi kebebasan sosial dalam kebanyakkan negara Muslim). Diadakan di Ottoman Legacy Hotel bertaraf 5 bintang.

ijtimak liberal2

Hari pertama dirasmikan oleh Dr Azhar Aslam pengerusi Istanbul Network for Liberty. Kemudiannya pembentangan sulung dibuka oleh Prof. Dr. Mustafa Acar, Aksaray University Turki dengan provokasi minda , melontar idea untuk mula memandang dan berkiblatkan pemikiran ahlul rayyi yang dipelopori oleh aliran muttazilah dan Imam Hanafi. Beliau membezakan antara reason dan rational. Cabaran ini adalah bagi membuka jalan penyelesaian kepada kerelevenan Islam dan muslim agar tidak lagi menjadi literalis dan tersangkut di zaman unta. Konflik yang kita hadapi harus ditangani sebagi wira alam . Muslim harus lebih inovatif dan perdajalkan slogan bi’dah yang dimanipulasi oleh sesetengah pihak tanpa menyesuaikan ia dengan realiti kontemporari kerana pertembungan budaya intelek Muslim Parsi, Romawi, Hindi dan ketololan Muslim Arab. Prof Azhar Aslam kemudiannya memberi 3 teras untuk direformasi agar diselarikan  dengan era ini adalah (1)- keharmonian antara agama dan hak individu, (2)- kerasionalan ekonomi negara muslim, (3)- keamanan global dengan membantu negara Muslim kerana baginya barat yang sebelum ini melalak bagai jagoaan sebenarnya hanya bertopeng bahkan tidak langsung menghiraukan perihal keamaman dan kebebasan di bumi Muslim.

ijtimak liberal

Bicara kedua pula mendatangkan 3 panel di atas pentas memperdebatkan isu Islam, individu dan negara; kembali merungkai sejarah dan literature klasik muslim yang maha kaya spt penolakkan sistem monarki oleh sirah, pembogelan kebobrokan Bani Umayyah, perbandingan al-muqddimah dan ahkam sultaniyyah, dan kitab Akhlaq al-ayii (sebuah kitab panduan etika pemimpin dari ketamadunan, keperibadian sehingga nilai pemerintah di zaman Osmaniyyah). Ketiga-tiga panel juga dengan kemas mempersembahkan dalil bahawa pelopor sains politik wujud dari dunia Islam dan makin kaya di Andalusia sehinggakan Yahudi dan Kristian di zaman itu meniru-niru dan hilang entiti serta estim . Panel dari Bosnia menekankan hak pemilikan , hak cipta yang dilindungi islam manakala panel terakhir telah mematikan hujah  interversi agamawan dalam hak individu.

ijtimak liberal3

Hari semakin hangat apabila 3 aktivis feminisma yang bertudung mula bercerita mengenai situasi Muslimah di negara Muslim. Sebahagian perserta dari Turki mempertikaikan kebebasan bertudung. Dakwanya ianya tidak lain hanya sebuah bentuk pemaksaan komunti dan budaya agamawan dan tidaklah merupakan pilihan wanita , jawapan dari Panelis Amira El-kedy (Mesir) penuh emosi “apakah anda ada bukti ia adalah sebuah pemaksaan? Datangkan statistik anda, seperti yang anda katakan ia berlaku di Mesir, Tunisia dan Turki “ . Perserta itu gagal dan Amira menyambung katanya “apakah penting sangat kalian perbahaskan sehelai kain yang kami pakai diatas kepala ini?”. Saya bangga, terpaku.

Aktivis feminisma dari Morocco yang agak sexy pula bangkit menyarankan pendidikan atas hak menceraikan suami dan mengatakan tidak kepada keganasan rumah tangga. Katanya kebanyakan wanita walaupun berpendidikan tinggi (baca ke menara gading) kadangkala masih takut dan menyembunyikan keganasan rumah tangga yang berlaku. Panelis juga melontarkan kegurasan atas perbahasan parlimen Tunisia akan undang-undang membenarkan perogol mengahwini mangsanya; ini adalah sebuah penindasan emosi .

Seorang peserta Amerika (lelaki) bangun mempertahankan hak anak bawah umur tidak layak berkahwin walau apapun alasan, ia dipersetujui semua dan perserta Madinah bangun membongkarkan sesetengah wilayah di Amerika perkahwinan bawah umur berlaku dan ada wilayah yang tidak menetapkan had perkahwinan umur maka sekali lagi isu ini tidak harus diajukkan kepda negara Muslim sahaja. Kelihatan feminis ini agak sekularis dan cuba lari dari membahaskan ia dari kacamata agama, bukan kerana skeptikal tetapi lebih mudah untuk tidak memandai dan selesa memandangnya dari persepktif  kemanusiaan. Perlu saya ingatkan dalam pemikiran liberalisma, hak kemanusiaan dan hak wanita dibahaskan dalam bab yang berbeza. Apapun setelah pemerintahan Ikhwan Mesir mengalami penambah-baikkan terhadap hak wanita dimana keterlibatan dalam wanita sektor awam dan swasta meningkat baik tepukkan gemuruh telah diberikan untuk Ikhwan.

bersama Wan Saiful Ideas

Penutup hari pertama dikendalikan oleh saudara Wan Saiful Wan Jan dari IDEAS, Malaysia sebagai moderator dengan tajuk Kapitalisma menentang Imperalisma. Perbahasan agak laju dan saya kurang menangkapnya dengan sempurna. Cuma yang menarik adalah nilai Pasaran Bebas dan Imperialisma yang sangat kontradatik ditunjukkan. Hari pertama ini bagi saya kurang menarik kerana kebanyakkan panel tidak berani mcncabar tradisi Islam dengan membongkarkan semula teks sumber islam (al-Quran dan Sunnah). Tidak terasa klimaksnya seperti menghadiri colloquium IRF.

Hari kedua lebih menarik apabila sistem waqf dibincangkan. Ia adalah teknik pemilikkan separa peribadi bagi sesetengah tempoh sejarah dan makin melalui proses individualisasi . Dalam dunia muslim ia boleh menjadi cara untuk para kapitalis menjalankan kerja amal. Di Barat , sistem waqf telah wujud tanpa menamakan ia sebagai waqf. Tamsilnya, Martin College adalah sebuah tanah ‘waqf’ di Oxford. Turut menjadi syarahan adalah kekeliruan nilai dalam masyarakat muslim yang menerima riba dan menolak memakan khinzir. Walau ada perbahasan mengenai bunga atau interest bukanlah riba yang dimaksudkan al-Quran saya tetap menolak hujah ini kerana ketempangannya dan kita lebih harus berhati-hati dalam soal halal dan haram ini. Dalam sesi ini panel pertama merumuskan 4 rukun kapitalis iaitu (1)-Rules of capitalism, ekonomi duniawi bermaksud rasionalisasi ekonomi yang berpijak kepada bumi nyata, dan bukan sakral-sakral ukhrawi. (2)- becoming workforce, menjadi pasukan kerja yang serata tanpa mengira agama-bangsa, disini toleran secara kolektif terbentuk dalam satu firma, (3)- increase of wealth, peningkatan kekayaan yang semestinya meletakkan sesorang pada dan tahap tersendiri, pokoknya kekayaan harus meningkat. (4)-same ground and opportunity, bermakna anti-kronisme.

Pusingan kedua pada hari ini pula dimulakan dengan seri-kata oleh Mustafa Akyol (penulis turki yang tersohor) yang kemudiannya diikuti oleh pengenalan terhadap kebebasan ekonomi dalam negara Muslim. Menurut panelis , masyarakat Muslim tidak suka interversi dalam ruang peribadi tetapi masih tidak berani mandiri dalam ekonomi dan terus dikhayalkan dengan kebergantungan pada regim berkuasa.

ijtimak liberal4

Pusingan terakhir adalah pengulungan yang sangat memuaskan. Bagaikan mencapai klimaks, satu persatu permasalahan politik muslim diselak dan dianalisis , dari permulaan yang ringan sehingga perbahasan mendalam dan reaksi agresif dari para peserta. Hentakan, kritikan padu diberi satu persatu. Ia bagaikan sebuah syura yang sedang gusar akan masa depan keamanan, kemandirian Civil-Society, kejujuran media, keadaan Islam, Muslim Demokrat (liberal) dan demokrasi. Moderator ahlus syura adalah Dr Imad ad-dean Ahmad dan Prof. Atalla Yalya (bapa liberalis turki) mula mengkritik Barat yang sekali lagi culas dalam isu ini. Pada peserta meja bulat ini memuji Arab-Spring bagaikan sebuah mukjizat apabila dunia Muslim juga mampu menjana revolusi. Keunikkan ini menarik lirik mata seluruh alam dan menjadi tumpuan Amerika, China, Israel dan Rusia. Arab-Spring telah menjadi sebuah legasi amanah kearah demokratisasi dan pemodernan dunia Islam yang tertangguh dihujung usia Osmaniyah dek kelicikan Regim Muhabaret.

Kesilapan pengisian pasca Arab-Spring memberi kesempatan dua puak pengkritik. Orentalis yang cuba menyalahkan kebodohan Arab, budaya dan kesempitan pemikiran yang mustahil di-ubat. Dan blok liberalis yang prihatin akan nasib masa depan demokrasi dan Muslim Demokrat. Sedangkan Tunisia dan Iraq telah mencapai kejayaan dan terus mengorak langkah maju. Sayang sekali kontra pula dengan perihal Bahrain, Lubnan, Syria yang mengundur kebelakang dan makin menjauhi jalan demokrasi. Mesir, adalah subjek yang sangat kritikal dimana kudeta yang langsung tidak demokrasi di-bisu-kan media barat. Panel dari Morroco juga seorang aktivis feminisma, terus menganalisis bahawa wujud dua golongan sekular dan wujud dua keadaan democracy dimana Liberal Democracy dan Illiberal Democracy (one party democracy). Wujudnya ruang tidak rata dalam padang politik . Kebebasan bersuara hanya berpihak pada penguasa. Ya, saya tersenyum sinis, keadaan ini saya kira rakyat malaysia sangat empati, kita pernah punya demokrasi dan Mahathirisma dalam masa yang sama. Dr Imad menambah bahawa dalam demokratisasi punya dua frasa yang wajib berjalan secara harmonis dan dipastikan tidak terbantut, Transisi dan Tranformasi (reform) . Apa yang berlaku di mesir adalah Transisi tetapi tranformasinya gagal. Sistem gagal dirobah. Pertengkaran pendapat makin hangat apabila wujud panelis yang ingin menyalahkan Morsi dan Ikhwan mesir sepuhnya, tetapi dijawab pedas oleh Bapa Liberal turki ” tiada kerajaan demokrasi yang maha sempurna, Turki, contoh mungkin terbaik (mungkin) untuk dunia Muslim masih mempersembahkan kecelaan AKP, tetapi apakah Mubarak tidak bersalah? Apakah tempohnya lebih baik dari perkembangan yang IM persembahkan?, Barat berlaku tidak liberal dalam kes ini”.

bapa liberal Turki

Bapa liberal Turki, pengasas Istanbul Network, dan pengasas Institusi Fahaman Liberalism , Prof. Dr Atalla mengheret pembincangan untuk sidang syura berfikir, “Apakah generasi yang berarak di medan revolusi itu punya pencerahan? Atau sekadar mata dan membabi-buta? Semasa rang disusun semula (proses transformasi) apakah mereka juga diberi peluang berpasitipasi ?” Dalam pasca-revolusi menuju kepada demokrasi keterlibatan dan persetujuan semua harus dikutip dan dikira, tidak seharusnya rang digubal tanpa persetujuan semua pihak, ini adalah wajib dalam demokrasi sekalipun memakan masa.

Kewujudan pertentangan keras orentalis, elit pro-Barat, dengan demokrat Muslim bakal mengagalkan usaha mencambah keamanan, kebebasan sejati, dan pengkayaan ilmu dan budaya di bumi Muslim. Maka wajib bagi golongan liberal mencorak politik secara pengstrukturan sosial sehingga kedaulatan undang-undang mengatasi golongan elit dan membela rakyat ala Turki dalam usaha dakwah dan mengekalkan demokrat-muslim (Muslim-Liberal) dan mempengaruhi fikrah PM erdogan seawal 3 tahun setelah AKP menguasai Turki. Selama 12 tahun polisi negara dan AKP turut dicorakkan oleh gerakan liberalism disini. Pencapaian kebebasan yang sangat baik ini masih belum sempurna seperti diharapkan kerana Erdogan masih keliru antara mendokong demkorasi tetapi dalam masa sama masih berani membentak media. Dr. Atalla menolak semangat darah muda yang sering diajukan kepada beliau , suara-suara seperti dari golongan anarki-kapitalism “ayuh kita janjikan kekayaan kepada semua rakyat dan kita realitikan utopia ini”, atau dari suara lainnya “kita sanggup korbankan darah demi sebuah negara liberal” atau suara yang menyeru menolak sesiapa sahaja melainkan golongan liberal untuk mentadbir negara. Dr Atalla berkata ” saya tersenyum, biarkanlah mereka orang muda, sejujurnya jawapan saya : jadikanlah liberalism itu seperti hobi anda (watak dalam kehidupan), kerana selalunya anda akan lebih mahir dan berjaya dalam hobi anda”. Ya, saya bersetuju, kita tidak perlu mengdefinasi semula, berdogma-dogma, mengkongsepkan liberalism berkali-kali tetapi malap dalam aplikasinya. Kerana kita tak mampu mengubah semua idealogi rakyat tetapi memampu membentuk persektif dari situ terbentuklah idea dan secara tanpa sedar mereka mengimani liberalisma. Usaha yang panjang ini moga dirahmati.

Saya tidak ada kesimpulan , kerana inilah sebuah kesimpulan. Walau ada ralat dan khilaf saya pendamkan, kerana anak seperti saya perlu lebih banyak bergerak dari bercakap. Saya secara peribadi lebih cenderong kepada liberal sosial dari liberal ekonomi ini. Apapun istifadah yang saya fahami bahawasanya ini perjalanan yang masih panjang dan harus dipusakakan. Sebuah projek global dan hanya kepada Tuhan kita menadah tangan. Amiin…oh Tuhan..

hurriyah yakni kebebasan sebagai perjuangan utama

 

Artikel ini adalah hasil cerapan dan pendapat peribadi penulis. Penulis

bertanggungjawab atas tulisan ini dan bersedia diatas sebarangan kritikan atau cadangan.

 

 

 

En. Muhammad Al-Mahdi ialah penulis dan pemikir bersekutu di STRATA Consulting, sebuah badan advokasi dan pemikir dengan pengkhususan kajian strategic dan analisa unjuran. Beliau merupakan mahasiswa universiti di Istanbul merupakan mantan anak didik gerakan Islam. 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s