Kebebasan : Liberalisma dan Islam

Diterbitkan sebagai sebahagian dari siri Sekolah Liberalisma 

Muhammad Al-Mahdi      31/03/2014

 

Persoalan samada zaman mengikut islam atau islam mengikut zaman terkadang menyinggah menjadi permainan minda kita. Namun kita acapkali gagal menemukan kerelevenan islam terutama disaat-saat sukar ini. Kita menjadi hairan diantara teks-teks dan realiti zaman sering bertentangan sehingga kita termangu di atas agama naluri (fitrah) ini dan garis-garisnya (syariat). Kita menjadi hairan disaat kebebasan-kebebasan kita disekat atas nama agama sedangkan manusia itu diciptakan bebas. Kita bak seekor angsa yang dibesarkan oleh itik, tidak kenal kemampuan sumber literal kita yang maha kaya.

Skeptikal antara kebebasan dan islam sering menjadi pandangan buruk barat. Lebih sadis ummat islam sendiri yang rigid terhadap naluri manusiawinya. Walhal secara fitrahnya tiada manusia yang suka terbelenggu. Sebaliknya setiap pembongkaran dan perjuangan terhadap naluri ini dianggap sesat dan liberal. Jesteru saya mencadangkan kita meneliti semula makna liberalisma yang menjadi wirid para penceramah dini hari dan ayuh kita lalui proses emprikal semula secara jujur keatas teks-teks agama sakral lagi fitrah ini. Apakah itu liberalisma, kebebasan dan islam, inilah yang harus kita telanjangkan kemudian kita adili keserasiannya dengan akal seperti yang disebut peranannya oleh cucunda Rasulullah saw, Ja’far Shodiq ” Akal adalah dalil seorang mukmin. Dan petunjuk bagi orang mukmin.” dan sebagai alq mustafid oleh Imam Ghazali.

Liberalisma

Akarnya liberalisma itu adalah sebuah faham yang membicarakan kebebasan. Semua maklum, asalnya dari perkataan Latin liberte bererti bebas. Tetapi memahaminya dari estimologi dan terminologi pasti tidak cukup menggambarkan keseluruhan manhaj ini. Mengkaji dan mencari saat munculnya faham ini akan membawa kita ke kurun 18 dimana zaman pemerkosaan agama kristian berlaku di kala pemerkudaan pemerintah berkolaborisasi dengan agamawan bagi memastikan monarkism, pemerasan, penafian hak harta, dan hak berpendapat dicabul sehinga tidak ada yang layak memahami narasumber kristian melainkan mereka yang akrab dengan kerajaan dan institusi fatwa. Kemudian muncullah era pencerahan dan kebangkitan (Enlightenment and Renaissance) menentang eksploitasi ini tanpa menyerang agama, sebaliknya proses sakralisasinya semula melalui reformasi pemahaman terhadapnya dan politik. Akhirnya membentuk sebuah faham dan mengembalikan hak kebebasan kepada tempat seharusnya seperti keadilan yang digagaskan Socrates. Liberalisma (kebebasan), demokrasi , sekularism adalah serentak dan saling mengukuh.

Dalam terminologi ensiklopedia Michael W. Strasser mentakrifkan seperti berikut :

Liberalism refers to a broad array of related ideas and theories of government that consider individual liberty to be the most important political goal. Modern liberalism has its roots in the Age of Enlightenment. Broadly speaking, liberalism emphasizes individual rights and equality of results. Different forms of liberalism may propose very different policies, but they are generally united by their support for a number of principles, including extensive freedom of thought and speech, limitations on the power of governments, the rule of law, the free exchange of ideas, a market or mixed economy, and a transparent system of government. All liberals—as well as some adherents of other political ideologies—support some variant of the form of government known as liberal democracy, with open and fair elections, where all citizens have equal rights by law.

Dari pemahaman petikan diatas, kita dapati memberikan hak berfikir, bersuara, kebebasan individu, keadilan sosial, kemandirian, ketelusan kerajaan dan keterbatasan kuasa adalah ruang lingkup perbahasan liberalism. Selain itu liberalism juga berubah mengikut nilai setempat dan pengaplikasiannya.

Kebebasan dan liberalisma

Inilah keresahan yang menghantui kita sebenarnya, kebebasan sering di gambarkan tindakan seseorang yang tidak terbatas dan mungkin sahaja menimbulkan kehuru-haraan seperti keadaan anarki setidaknya pun mencipta tata-sosial yang tidak bermoral. Setegasnya liberalisma bukanlah bererti membuang agama dan menghasilkan situasi kekacauan. John S.Mill acapkali menyatakan “kebebasan adalah terbatas, dan keterbatasan itu adalah hak yang lainnya”. Jika kita bersikap adil terdahadap pencetus utama liberalisma John Locke (1632 -1704) sendiri adalah seorang yang taat beragama kristian, beliau tidak pernah membuangnya bahkan apa yang dilakukannya adalah reformasi kearah pengsakralan kristian. Begitu juga dalam kebanyakan esei seorang mufakkir liberalisma agung Hayek mengulangi keterbatasan akal dan limitasi kebebasan. Kita fahami seharusnya, sebelum menerjah masuk agar tidak menampakkan kebodohan dan memalukan nama muslim itu sendiri. Bolkestein mencadangkan “Jika memang yang Anda inginkan (menganuti atau memahami) liberalisme maka janganlah memilih ideologi lain yang ikut-ikutan menerapkan gagasan liberal, tetapi rujuklah pada liberalisme yang sesungguhnya.” Justeru apakah sejujurnya kebebasan dari kaca mata liberalism?

Locke mengulas kebebasan mempunyai tiga dimensi: kebebasan diri (fizikal), kebebasan berperasaan-berfikir dan kebebasan mempunyai harta secara legal. Interversi terhadap ketiga-tiga hak ini adalah dikira sebuah penindasan dan kezaliman. Bagi Locke pada asalnya dua kebebasan yang pertama (fizikal dan perasaan-fikir) adalah diberikan oleh Tuhan secara fitrah. Manakala kebebasan berharta adalah dengan usaha manusia secara legal. Idea ini dikembangkan lagi oleh beliau bahawa setiap kebebasan ini harus dijaga melalui tata-masyarakat yang sihat. Kebebasan fizikal dijamin bagi setiap manusia memiliki dirinya sendiri dan tidak dimiliki manusia lain, kebebasan fikir dan perasaan disoroti hak bersuara, berpartisipasi dengan politik dan autonominya. Ini bermakna setiap idea boleh disuarakan dan dijamin oleh kuasa politik. Samada idea itu mengkritik atau bersama mana-mana faham politik perdana mahupun alternatif. setiap idea yang keluar bebas dinyatakan tanpa halangan dan pembatalannya bukanlah dengan tangan kerajaan sebaliknya melalui perbahasan diperingkat intelektual dan masyarakat awam. Ini juga sangat sepadan dengan semangat pencerahan yang melahirkan Liberalisma, semangat belajar dan intelek yang digalakkan oleh Immanuel kant. Kebebasan harta pula adalah kearah mencipta mekanisme yang memungkinkan setiap manusia memiliki harta peribadinya. Idea-idea ekonomi juga turut dikembangkan oleh Adam Smith, David Ricardo, Francois Quesney dan Hayek sehingga melahirkan pasaran bebas, pasaran sosial, austrian-capitalism, dan pelbagai-bagai lagi yang menghadkan campur-tangan kerajaan dalam penjanaan wang rakyat.

Kebebasan alami manusia ialah terbebas dari setiap kekuasaan duniawi (yang lebih tinggi), tidak tunduk pada kemauan atau kekuasaan seorang manusia (raja), melainkan sepenuhnya mengikuti aturan alami sebagai landasan hak-haknya. Kebebasan seorang manusia dalam sebuah masyarakat tidak berbasis pada kekuasaan (orang) lain yang dipaksakan berdasarkan keturunan, juga tidak pada kekuasaan dan keinginan atau keterbatasan sebuah undang-undang selain yang diputuskan dalam parlimen yang bisa dipercaya.“ (Locke 1977: 213 f.)

Kebebasan dilebarkan lagi kepada menolak segala sistem yang menindas termasuk wujudnya kelas ‘pilihan’. Tidak wujud dalam piramid sosial itu bangsa pilihan atau golongan keluarga pilihan untuk menjadi ketua, segalanya harus melalui pemilihan yang adil dan prosedur yang lurus. Rousseau mengajukan idea bahawa masyarakat yang bebas adalah apabila tertegaknya negara hukum dimana undang-undang adalah terletak diatas neraca keadilan menyeluruh untuk segenap warga tanpa memilih bulu dan wujudnya pengaruh monarkism . Bebasnya setiap potensi digilap tanpa aral. Kebebasan kemudiannya mula diundang-undangkan oleh Immanuel Kant secara serius, setiap individu bebas berbuat apa sahaja secara moraliti dan keterbatasannya adalah kemaslahatan umum bukannya hanya ditimbangkan oleh akal tetapi disepakati undang-undang tanpa menindas dan menafikan hak per-individu. Ini tidak bermakna Kant cuba membangkitkan semula fitnah lena fasism kecuali mengatur dan memformatkan kebebasan agar tidak menjadi anarkis., Arak-pub-maksiat bukanlah tumpuan utamanya kebebasan didalam liberalism. Ia tiada dijalur mainstream idea-idea liberalism. Kepedulian dan keperihatinan liberalism terjurus kearah kebebasan individu, politik dan ekonomi. Dalam perihal lain Liberalisma menyerahkan agama sebagai pemandu manusia. Sekalipun kita mungkin menyatakan liberalisma menjerumuskan kearah kerosakan ekonomi, sebenarnya ini kurang tepat, yang merosakkan sesebuah sistem dan sosial adalah moraliti individu.

Kebebasan liberalism tidak lain hanya membataskan kuasa kerajaan dalam beberapa perkara sejagat sahaja seperti keselamatan, kemudahan awam. Manakala kerajaan tidak ada hak memaksa fahaman, pergerakan, pakaian, dan kehendak jual-beli seseorang. Inilah membina kemandirian masyarakat dan dinamika setiap individu disebalik motivasi tersendiri yang menjananya . Seseorang harus bebas dari ketergantungan yang memasung, bebas dari kemiskinan dan ketakutan, dan ia harus memiliki kesempatan mengembangkan kemampuannya untuk berkembang di dalam masyarakat dan secara politik bertanggungjawab. Hanya mereka yang tahu bahawa secara sosial cukup terjamin, bisa memanfaatkan kebebasannya. Atau saya secara peribadi menyakini ia adalah invisible hand. Kebebasan, keserataan dan keadilan sejagat, kekuasaan undang-undang – bukan orang-orang, keterbatasan kerajaan, inilah membentuk semagat demokratik yang digagaskan oleh faham liberalism klasik realitinya. Kebersamaan dalam perundangan dan limitasi kerajaan dari kekerasan mencengkam.

Kebebasan dan Islam

Sebelum kita mengangguk dan menggeleng atas sesuatu perkara lazimlah kita teliti dan bersifat adil, neutral, ter’tabayyun’, itulah saranan para ulama terdahulu. Melalui emprikal yang sengit dan gusar kita letakkannya diatas wazan warisan-warisan agama sehingga kita nampak apakah sesuatu perkara itu sejajar dengan islam atau mungkinkah ia bertemu dititik X di kordinat mana-mana, atau setidaknya apakah ia menjadi bertentangan terhadap nilai-nilai islam itu sendiri. Namun malangnya penilaian boleh menjadi saling kontradik melalui pencerapan yang berat sebelah. Ayuh, kita elakkan begini. Tinggalkan menjadi literalis dan mari kita pandang dengan sudut pandang dari school of rational atau ahlul rayyi yang diasaskan oleh Abdullah b. Mas’ud dalam peristiwa peperangan Bani Qurayzah. Thoifah pemikir mengambil inti, nilai, dan semangat al-ahadist berbanding superfisial seperti yang dianjurkan..

Soalan pertama yang mahu saya ajukan. Apakah punya kebebasan di dalam Islam? Atau wujudkah kebebasan apabila menjadi seorang Muslim?. Tentu ini membingungkan. Jika kita kata ia tiada tentu sahaja berbeza dan kontradik dengan semangat fitrah itu sendiri. Kebebasan adalah Hurriyah .Kebebasan bukanlah Islam. Kebebasan juga bukanlah liberalism. Ia adalah al-masalah (common good and interest). Sebelum Islam itu muncul manusia sudah punya fitrah untuk bebas kendatipun masyarakat jahiliyyah tidak mengamalkannya dengan baik. Kerana itu islam sebagai agama alamisasi dengan fitrah menjadi lil u-tammimul akhlak, penyempurnaan nilai-nilai moral (manusiawi). Bukannya mengajarkan perkara yang baharu tetapi empowering nilai tersebut kekemuncak manusiawi sehingga membina ketamadunan, inilah proses addin.

Kebebasan didalam islam perlu difahami dari maqasidnya . Kerana inilah kunci kepada pemahaman core islam itu sendiri. Jika aqidah bermaksud ikatan, syariah adalah jalan dan tujuannya adalah maqasid syariah itu sendiri. Perbicaraan kebebasan perlu kita sedar ia bukan di dalam wilayah aqidah, kerana kebebasan sosial adalah dibawah naungan siasah -muamalat maha fleksibel dan tidak baku. Penjagaan intelek-pemilikan harta-hak beragama-institusi kekeluargaan-nyawa adalah teras perbincangan politik islam. Sebelum bicara menjadi lebih panjang saya mahu kita bandingkan perkatan Rabie’ b. Ammar dikala perang Qudsiyyah “kamilah kaum yang diutus untuk sebuah pembebasan daripada penyembahan hamba terhadap hamba kepada penyembahan terhadap Tuhan para hamba” perhatikan pula perkataan John Locke pada perenggan ke-8.

Pembebasan fikir dan rasa kendiri, merasa bangga sebagai ahsanul taqwim dan izzatul islam bukanlah bermakna kita harus mendabik dada. Ia adalah sebagai motivasi terhadap kebebasan kita secara spiritual dan intelektual. Seharusnya menjadi ustaziyatul alam seperti yang diimpikan tanpa mengetepikan semangat persaudaraan antara agama lain. Hassan al-banna didalam majmu’ risalah-nya pernah menerapkan bahawa islam adalah agama persaudaraan sebelum agama kesukuan dan dibawah bab nasionalisme al-banna dengan ungkapan indah berkata, “Alangkah indah dan adilnya ungkapan ini. Semua manusia daripada Adam dan kerana itu mereka semua setaraf..” al-banna meneruskan lagi kebernasannya dalam memaknakan semula nasionalisme. “Pertama, semua manusia daripada Adam jadi mereka semua adalah saudara. Oleh itu mereka perlu saling bekerjasama, bahu-membahu, berkasih sayang dan saling memimpin ke arah kebaikan. Kedua, perbezaan antara manusia hanyalah berdasarkan amalan mereka. Jadi masing-masing perlu berusaha supaya dapat mengangkat martabat seluruh manusia”. Ini menunjukkan keserataan hak dan kebebasan fikiran, nyawa atau fizikal tidaklah memacu kepada memperlekeh dan menjadi ketuanan sebaliknya bersifat ustaz (guru) menjuarai keamanan dan mempamerkan qudwah harmoni didalam sebuah komuniti dan negara. Kebebasan fizikal didalam wacana islam juga digazetkan melalui perundangan kewargana-negaraan. Di dalam piagam Madinah rasulullah meletakkan konsep kenegaraan sebagai tanda setia terhadap tanah air secara serata dengan memanggil ummah (warganegara) mencakupi yahudi dan nasrani sekalipun kemudiannya ada beberapa kelompok yang membelot akibat semangat perkauman dan mengetepikan persaudaraan antara agama. Di dalam piagam itu fasal 2 disebutkan bahawa semua kabilah/suku dikira sebagai satu komuniti (ummah).

Seiras liberalism bukankah islam juga membicarakan soal kebebasan fikiran dari terbelenggu dan dipilihkan melainkan atas jalan rasional dan pengkajian ilmiah?. Al-quran mengandungi 49 sebutan mengenai akal dimulakan dengan perintah Iqra’ sebagai permulaan wahyu membuktikan khitabnya adalah akal , Dr Muadz Said Hawwa (anaknda Said Hawwa) juga sering mengajukan peranan dan kewarasan akal sebagai pemandu akhlak dan aqidah manusia dalam kitabnya At-tazkiyyah ala’ manhaji an-Nubuwwah. Manakala Liberalism seperti dinyatakan adalah manhaj belajar agak senada dengan hadis “Hikmah itu adalah barang yang hilang milik orang yang beriman. Di mana saja ia menemukannya, maka ambillah.” (HR. Tirmidzi) “. Bahkan Imam Hanafi, Syaibani, at-thusi, juga banyak memulakan perdebatan dengan akal, maka terkadang agak radikal sehingga menjadikannya sumber hukum seperti istishan dan masaleh-mursalah. Akal, sungguhpun diakui terhad oleh Hayek, Kant dan lain-lain tetapi tempatnya begitu diraikan dalam perbahasan dunia liberalism (ekonomi-politik-sosial). Halus lagi kita soroti menyusuri idea-idea Locke kebebasan faham ini dijamin oleh masyarakat dan manifestasi melalui keterlibatan dan kelantangan berpendapat, para ulama islam juga mengambil rentak sedemikian bahkan lebih awal menyanggah beberapa khalifah yang bersifat tidak adil dan menyekat kemaraan faham mereka.

Malangnya tatkala kebebasan ini dinafikan, muncullah karektor yang menunggang agama dengan kuasa. Pemaksaan terhadap fahaman dimulakan oleh beberapa watak dalam sejarah hitam muslim sehingga terbunuhnya cucunda Rasulullah, pemerkosaan kota Mekkah oleh Hajjaj as-saqofi, Al-Mu`tashim Bin Harun, Al-wathiq, Makmun dan lain-lain. Hal ini menyebabkan Kisah Sa’id Bin Jubair, Abdullah b. Zubair b. Awwam, imam Ibn Hambal bersama 7 yang lainnya, Imam Malik, Imam Hanafi, al-hallaj, ibn arabi, ibn taymiyyah, dan ramai lagi disebat, dibunuh, diseksa, dipenjara perihal duka ini berlanjutan diwarisi pemimpin moden bersifat tirani hari ini. Tidak ternafi tragedi ini berpunca dari kezaliman terhadap hak kebebasan berfikir dan berpendapat. Penderitaan Qutb dalam menolak Raja Farouk dan Jamal Abdul Nasir, pengkapan seluruh ahli ikhwan, sehinggalah kegilaan Bashar meratah darah ummat tidak lain faktor tunggal adalah kemalapan kebebasan bersuara. Lantaran ini tokoh maqasid terdahulu Ibn asy’ur dalam tinta beliau ‘al-maqasid as-syariyyah’ menghuraikan kebebasan (al-hurriyah) mengandungi 2 maksud: seseorang yang berakal itu tidak tunduk kepada sesiapa melainkan dengan kerelaannya, dan kedua adalah kebebasan seseorang melakukan apa sahaja yang dikehendakinya tanpa ada penentangan. Dan kedua ini menurut beliau lagi adalah seiring yang dikehendaki dalam syara’ dan fitrah . Beliau memanjangkan lagi perbahasan ‘syariat itu menghala kepada al-hurriyah dan sempat mengukilkan athar Umar bin Al-Khattab “kenapa kamu mengabdikan diri kepada manusia, walhal ibu kamu melahirkan kamu dalam keadaan merdeka [bebas]?” . Ibn asyur terus menyatakan syariat itu adalah jalan pembebasan dari penghambaan. Bahkan hayek juga pernah menulis tentang mengelak jalan penghambaan ini berdasarkan teknik sadh’uz zarai’. Bagi ibn asy’ur matlamat kebebasan adalah maqasid yang awla, kerana dengan kebebasan berpendapat manusia dapat menilai dengan adil. Beristidlalkan Hud ayat 88, Rasul diarahkan dengan melancarkan (misi) ini semampunya. Dan qasas ayat 4: sesungguhnya perlantikan Musa adalah untuk menyelamatkan Bani Israel dari kefasadan yang dilakukan oleh Firaun. Difahami disini bahawa maksud kefasadan itu, bukan kekufuran, tetapi kefasadan berbentuk perbuatan yang dilakukan dibumi, kerana Bani Israel tidak mengikut firaun dari sudut kekufurannya”

Pemilikan harta dibicara dalam soal kehakiman (perundangan negara) tradisi islam, selain itu turut mencakupi bidang muamalat (jual beli). Sejumlah sumber islam memberi pandang serius akan hak dan keterbatasan individu lain. Dalam surah An Nisaa’: 29 tamsilnya dan hak pemilikan sah dalam hadis dari aisha ra ” Barangsiapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, maka Allah akan mengalungkan tujuh bumi kepadanya” (bukhari-muslim). Dalam permainan perniagaan islam, sebuah negara tidak pernah diberikan hak untuk mengawal harga barang melainkan menambahkan ghariah persaingan sihat tanpa penipuan. Pemintaan dan penawaran adalah penentu keanjalan harganya. Kemandirian pasaran dan masyarakat dalam meneraju kemajuan ini agak sesuai dengan dasar era pemerintahan khalifah Amin dan Ma’mun. Ibn Asyur juga di dalam kitabnya acapkali mengusik peri penting manusia dibiarkan bebas berkerja. Tidak terlupa juga Za’ba tokoh ulung melayu muncul dengan idea islah ‘perangai bergantung pada diri’. Qaradhawi juga menekankan kemadirian ini ” (malangnya) kita tidak bertani dibumi kita, tidak menghasilkan keluaran dari bahan mentah, …….jadilah kita pengguna bukan pengeluar”. Kemandirian dalam liberalism diasak oleh Invisible hand (tangan ghaib) yang menjadi motivasi per-individu merupakan faktor berlainan, bagi seorang beriman tentulah mardhatillah dan bagi manusia yang lalai tentulah unsur-unsur keduniaan.

Selain kebebasan-kebebasan diatas , seperti saya ungkapkan dari coretan -coretan tokoh liberalism, keterlibatan rakyat dalam perundangan adalah titik penting dalam liberalism. Atau makna lainnya kedaulatan perundangan demokrasi. Saya menjadi sebu untuk membahaskan ini, mungkin pembaca boleh terus sahaja menerpa-baca karya-karya seperti Addin-wal Siasah, Islam wal al-demoqratiyyah, Al Dimuqratiah wa al Huquq al Insan fi al Islam, atau banyak lagi cambahan rujukan. Nan cuma, penglibatan rakyat dalam pembentukan perundangan perlu terjelas sebagai mengelak eksploitasi agama , dan sebagai pengiktirafan persaudaraan antara kaum “besar” dan “kecil”. Jujur, kita tidak boleh menafikan ekploitasi agama. Ia wujud dalam sejarah khilafah kita nan gah. Mengunakan agama bagi memacu kuasa, telah pun saya senaraikan diatas, mengunakan kebesaran mereka menafikan kekuatan kaum kecil. Oleh itu jika diteliti kecenderungan islam untuk dieksploitasi Allah swt juga ‘mengangguk’ “(Iaitu) Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit, lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka kerjakan.(QS at-Taubah [9]: 9).)”. Nada seirama maksud surah ali imran ayat 64. Ustaz Dr Jasser Auda menikam tajam pemerintahan berkonsepkan diktator dan perundangan berdasarkan keputusan kelompok tertentu sahaja sama ada atas pemerkosaan nama syura atau wilayah al-faqih. Dalam sederwasa itu beliau menerangkan konsep politik Islam yang berteraskan syura dan suara rakyat. Dikupas-kemas didalam artikelnya هل منحت الشريعة الشرعية لتفرد الحاكم بالرأي؟, Tariq ramadhan(cucunda al-banna) pula dalam ucapannya merungkai salah faham keterlibatan suara rakyat dalam pembentukan negara, persoalan negara adalah politik dan semua harus berpatisipasi, bukan pusaka golongan elit sahaja, politik adalah penentuan masa hadapan semua kontradatik soal ahkam halal-haram yang terpatri untuk golongan berautoriti (fuqafa’) . Maka sudah matilah persoalan tentang majoriti yang jahat atau majoriti memadamkan suara syariah. Jika kita menyelak lembaran sejarah pasti ternukil kemas beberapa peristiwa prima perang badar dimana Ibn Munzir menolak strategi rasulullah, biografi ulung kelantangan abu zhar al-ghifarri dan pendapat rasulullah yang terkalah dengan suara majoriti untuk keluar dari Madinah dalam peristiwa Uhud, kesepatakanan dalam piagam Madinah dan Perjanjian Hudaibiyyah. Kesemua ini adalah keterangan yang jelas menunjukkan keterlibatan rakyat dalam sebuah institusi negara.

Mungkin juga kita tertanya, jika liberalism itu secocok dengan Islam, mengapa ia tidak dimanakan Islam sahaja? mengapa harus menganuti liberalism?. Bukankah ke-gah-an Islam itulah yang terlebih awla?

Jawapannya mudah, kerana Islam adalah agama yang sakral dalam teksnya, teologinya dan fleksibel dalam politiknya. Keanjalan ini (murunah) adalah rahmatan lil alamain agar komparitif dengan zaman. Politik Islam adalah nilai dan tidak sistem atau political idealogi yang terkadang catat. Sedangkan nilai sejagat adalah baku, releven dan tidak lastik. Kita boleh menamakan politik ini adalah islam tetapi kalau menemui jalan buntu, apakah islam sudah buntu?. Oleh itu, biarkan sahaja dalam soal politikal idealogi kita belajar dari bangsa lain. Ia tidak bermasalah, kerana bukan bersifat metafizik aqidah. Bersikaplah adil pada sumber. Kerana falsafah islam sendiri dan tradisinya dibentuk oleh dunia luar seperti yunani, parsi dan romawi. Bermula ar-razi, al-ghazali, rumi, ibnu taymiyyah, ibn arabi, ibn rusyd, ibn khaldun dan seterusnya. Bahkan konsep keadilan juga mengalami pengaruhnya dalam teologi sunni (mengambil dari socrate: meletakkan perkara pada tempatnya) dan muttaziliyah dalam rasionaliti keadilan dunia dan Tuhan.

Jika ada urusan agamamu, serahkanlah kepadaku. Dan jika ada urusan keduniaanmu, maka kamu lebih tahu akan urusan duniamu. (HR. Muslim). Bukan sedikit wajah-wajah tokoh sejarah yang membawa idea-idea ini. Tokoh liberalism juga belajar dari sumber kita dan yunani, kita juga belajar dari sumber liberalism dan kita sendiri, bahkan permulaan ketamadunan islam juga belajar dari tamadun lainnya. Pertembungan tamadun. Genc Osmanlilar antara golongan demokrat yang mula membawa parlimen kedunia Osmaniyyah, Said Nursi pernah mewakili rakyat dalam parlimen, bahkan tokoh-tokoh ikhwan lainnya juga seperti Khalil Abd Karim, Al-ghonuchi, Qaradhawi, dan lain-lain banyak beristifadah dalam gagasan pemikiran liberalism ini. Kerana Liberalism maqasidnya (tujuan politiknya) adalah mengangkat karamah insaniyyah. Mungkin anda bersetuju atau tidak dengan pendapat saya tetapi ini bukanlah titik keretakan diantara kita, sehingga menghalalkan memfitnah, mengkafir, atau menunding jari kesesatan, juga meneka-neka perkara yang tidak jelas diantara kita. Tentulah pesanan guru kita ini menjadi ratib intelek kita “Ikhwan al-Muslimin amat memahami segala aspek ini. Oleh kerana itu mereka adalah orang yang paling bersikap terbuka dengan orang yang berbeza pendapat dengan mereka” al-banna.

*Artikel ini adalah hasil cerapan dan pendapat peribadi penulis,penulis bertanggangjawab atas tulisan ini dan bersedia diatas sebarangan kritikan atau cadangan

Rujukan :

Al-Quran.

John S.Mill (on liberty) : pdf.

Locke : A Letter Concerning Toleration : translated by William Popple 1689

IKD : terjemahan : Esei -esei terpilih Hayek

Frits Bolkestein: Liberalisme dalam Dunia yang Tengah Berubah, terjemahan.

Locke : Two Treatises of Government : 1997

Friedrich-Ebert-Stiftung : Social democracy reader 1: berlin :2009

Kent : what is enlightenment

Rousseau : teori negara demokrati dan pendidikan

Al-mustaqeem radhi : 0gos 2006 : Apa itu liberal dan liberalisme ?

Akyol : are islam and capitalism compatible ?

Prof. Dr. Bilal Sambur, Yildirim Beyazit University, Turkey: “Islam as an individual religion”

ensiklopedia Michael W. Strasser

Ahmad b. Muhammad : Ruang kesedaran: 2010

Program “Hamburg” SPD 2007.

Tariq Ramadhan : Radical reform : Oxford

Mustafa Akyol : Islam without Extremist : W&W Norton and company : 2011

Wan Mohd Nor Wan Daud, The Educational Philosophy and Practice of Syed Muhammad Naquib al-Attas: An Exposition of the Original Concept of Islamization- Kuala Lumpur: ISTAC, 1998.

Ibn Khaldun : versi arab : tarikh ibn khaldun jilid 1

Al-Banna : Majmu’ risail lil al-banna: dakwahinfo.com: terjemahan indonesia.

Nasr Hamid Abu Zayd : Naqd al-Khitab al-Dini, Kairo: Sina li al-Nashr, 1992, edisi I

Muadz Said Hawwa : At-tazkiyyah ala’ manhaji an-Nubuwwah

Tarikh Islami :1967: ibid.

Ibnu Asyur :versi arab: Maqasid As-Syariah Al-islamiyyah : dar na’fa’is : amman

Shalih Al Fauzan : Al Mulakhash Al Fiqhiy: 2003

Syh. Abu ali al-banjari : 40 hadis kelebihan ilmu dan ulama:

Al-Qaradhawi : ainal al-khalal: Beirut

Dr Jaser Audah : artikel : هل منحت الشريعة الشرعية

Tariq Ramadhan : syura or democracy ? . MAS INCA : 2013

Tariq Ramadhan : The footstep of the prophet

Sina Akşin, versi turki : Jön Türkler ve İttihat ve Terakki, İstanbul, 1987.

Shahih bukhari, maktabah syamilah.

 

 

En. Muhammad Al-Mahdi ialah penulis dan pemikir bersekutu di STRATA Consulting, sebuah badan advokasi dan pemikir dengan pengkhususan kajian strategik dan analisa unjuran. Beliau merupakan mahasiswa universiti di Istanbul merupakan mantan anak didik gerakan Islam. 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s